Malaysia Dateline

Panggung wayang lebih penting daripada Parlimen

Dilaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia menyeru orang ramai agar tidak bimbang untuk menonton wayang di pawagam apabila kerajaan memutuskan membenarkan operasi panggung wayang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya lagi “berdasarkan data penularan wabak itu di negara ini, industri kreatif termasuk operasi panggung wayang bukan sektor utama yang menyumbang kepada kluster Covid-19.”

Inilah kegilaan para menteri dan kerajaan yang ada sekarang.

Panggung wayang dibenarkan operasi malah menteri membuat promosi dan mengajak masyarakat untuk meramaikan panggung wayang serta memberi galakan sedangkan Parlimen yang merupakan institusi demokrasi tertinggi negara ditutup rapat.

Menteri di Jabatan Perdana Menter yang di dalam Jemaah Menteri yang sama memberi alasan Parlimen tidak boleh dibuka untuk bersidang atas faktor data dan sains sedangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia pula mengajak masyarakat ke panggung wayang juga atas hujah data dan sains.

Bagi kerajaan yang ada sekarang, panggung wayang lebih penting daripada Parlimen.

Istana Negara sebelum ini turut menitahkan bahawa dalam keadaan darurat berkuatkuasa sekarang sehingga 1 Ogos 2021, Parlimen tetap boleh bersidang, justeru tiada lagi alasan pihak kerajaan untuk tidak membenarkan Parlimen dibuka untuk persidangan.

Konvensyen Biasa DAP Kedah 2021 pada 19 Mac 2021 yang lalu telah sebulat suara meluluskan usul mendesak Kerajaan Malaysia pimpinan blok Perikatan Nasional memanggil segera persidangan Parlimen.

Parlimen hendaklah dipanggil bersidang segera malah Ke Bawah Duli Tuanku Yang diPertuan Agong boleh menitahkan Perdana Menteri memanggil persidangan berlandaskan peruntukkan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.