Malaysia Dateline

A Kadir Jasin

Panglima Baling tewas pusingan pertama

1. Permohonan membatalkan pertuduhan adalah peluang pertama bagi orang kena tuduh (OKT) cuba membebaskan diri.

2. Dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Rahim itu maka tewaslah dia dalam pusingan pertama perbicaraannya.

3. Ahli Parlimen Barisan Nasional (Umno) Baling itu telah memohon kepada mahkamah supaya membatalkan tiga tuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.

4. Tetapi Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan yang pertuduhan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji itu sempurna dan tidak cacat.

5. Beliau mendapati alasan yang dikemukakan oleh tertuduh tidak berasas dan gagal membuktikan yang tuduhan terhadapnya berniat jahat (mala fide).

6. Pada 16 Januari tahun lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan kontrak jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018. Abdul Azeez mengaku tidak bersalah.

7. Ketika itu juga dia didakwa atas sembilan tuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM140 juta yang diperoleh daripada empat syarikat sekitar Lembah Klang antara 2010 dan 2018.

8. Kemudian pada bulan September lalu dia dikenakan satu tuduhan tambahan yang melibatkan penerimaan sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai lebih RM400,000 daripada Menuju Asas Sdn Bhd.

9. Abdul Azeez adalah antara elit baru Umno yang amat berpengaruh ketika pentadbiran Mohd Najib Abdul Razak.

Wallahuaklam.Terima kasih.