Sejak semalam, tular satu video di laman sosial TikTok memaparkan kejadian sebuah kereta Hyundai Elantra terbakar dan menggelongsor turun kira-kira 100 meter dalam keadaan api sedang marak.
Kejadian tersebut berlaku di Genting Highlands, Pahang. Melalui video yang dimuat naik pengguna TikTok yang dikenali sebagai Kasman, dikatakan kereta tersebut terbakar kerana air di dalam kereta terlalu panas.
Kebakaran juga dilaporkan berjaya dipadamkan namun kereta tersebut musnah hampir 80 peratus.
Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut sempat berlanggar dengan kenderaan lain jenis Toyota Vellfire.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan petang semalam memaklumkan bahawa lima sekeluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, bomba menerima laporan berhubung kejadian jam 1.44 tengah hari sebelum lima anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands ke lokasi untuk bantuan.