Pantau kuari atau hilang jutaan ringgit, soal Adun Senggarang

Pantau kuari atau hilang jutaan ringgit, soal Adun Senggarang
Khairuddin A Rahim (kanan) sedang berbincang dengan pengusaha kuari.

Kerajaan Johor hari ini disaran untuk memantau aktiviti kuari yang berjalan di negeri ini agar kerugian selama ini yang ditanggung oleh pihak kerajaan dapat dibendung.

Mengulas perkara tersebut, Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim berkata, beliau mendapat laporan berkenaan dengan aktiviti kuari yang beroperasi secara haram.

Katanya, anggaran puluhan juta kerugian terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan disebabkan kuari yang beroperasi secara haram ini tidak mendatangkan hasil kepada kerajaan melalui bayaran cukai premium.

“Terdapat seratus lebih kuari yang beroperasi di negeri ini dan sebahagian daripadanya dilaporkan beroperasi secara haram tanpa mendatangkan keuntungan kepada kerajaan.

“Semakan pemutihan harus dilakukan oleh kerajaan bagi memantau aktiviti kuari ini. Kerajaan perlulah cekap dan efisien supaya hasil kerajaan dapat dikutip semaksima mungkin.

“Kerajaan tidak wajar kehilangan hasil bumi dari kuari yang beroperasi secara haram dan ia melibatkan suatu kuantiti kerugian yang banyak sehingga mencecah puluhan juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah lagi terdapat kuari yang beroperasi sehingga merosakkan struktur alam di kawasan Gunung Pulai.

Dalam lawatannya ke kuari tersebut, beliau mendapati kuari batu gunung tersebut telah mengganggu ekosistem gunung yang mana kawasan tersebut telah dimaklumkan sebagai kawasan tadahan air dan kawasan hijau dan perlu dielakkan dari menghadapi kemusnahan.

Loading...

“Kawasan kuari Gunung Pulai ini perlu digazet sebagai kawasan terkawal hadnya kerana ia adalah kawasan tadahan air dan kawasan hijau.

“Kita tidak nafikan bekalan batu dari kuari diperlukan untuk pembangunan.Dalam masa yang sama Aktiviti kuari di gunung ini perlu dihadkan agar ia tidak melibatkan struktur asas gunung. Perkara ini boleh mengakibatkan bencana seperti tanah runtuh, banjir dan sebagainya.

“Ada kuari yang telah menjalankan aktiviti hampir 30 tahun. Takkanlah bila gunung ini runtuh baru ada tindakan terhadapnya.

“Pemantauan perlu dijalankan dengan kadar yang segera. Menyemak semula kontrak dan had keluasan operasi kuari di gunung ini perlu dijalankan,” ujarnya lagi ketika ditemui.

Sebelum itu, terdapat kuari batu gunung yang dikenal pasti melakukan aktiviti di kawasan Gunung Pulai dan dimaklumkan pemilik kuari negara luar itu melakukan aktiviti berkenaan tanpa had.