Malaysia Dateline

Pantau perkembangan penularan radang paru-paru babit Orang Asli di Pahang

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang diminta pantau penularan radang paru-paru di perkampungan Orang Asli di negeri berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Beliau berkata, ia penting bagi mengelakkan penyakit itu berjangkit ke kawasan lain berikutan terdapat penularan radang paru-paru di Kuala Koh, Gua Musang ketika ini yang dikatakan berpunca daripada penghijrahan Orang Asli dari Pahang ke Kelantan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang untuk turut memantau keadaan Orang Asli di negeri berkenaan agar penyakit tersebut tidak merebak ke perkampungan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi 10 pesakit Orang Asli di Hospital Kuala Krai di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa.

Ditanya adakah kerajaan akan menyekat penghijrahan Orang Asli dari Pahang ke Kelantan bagi mengekang penularan penyakit itu, P Waytha berkata kerajaan tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Beliau berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk menggali kubur Orang Asli yang dikatakan meninggal dunia dalam perjalanan dari Pahang ke Kelantan untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar penyakit itu.

“Setakat ini tiada lagi keputusan dibuat (untuk gali balik kubur) tapi saya rasa ia tidak akan dilakukan kerana mereka (mangsa) telah dikebumikan secara adat masyarakat Orang Asli, jadi kita tak mahu mengganggu sensitiviti mereka,” katanya.- BERNAMA