Malaysia Dateline

Pantau royalti minyak, kata Khalid kepada PH Terengganu

Pakatan Harapan Terengganu perlu memantau perbelanjaan Wang Tunai Petroleum (WTP) negeri itu yang diterima daripada kerajaan persekutuan pada awal bulan ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menegaskan perkara berkenaan untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri tidak terabai selepas kerajaan negeri menerima royalti minyak berjumlah RM1.28 bilion.

Jelasnya, ia juga bagi memastikan peruntukan berkenaan digunakan secara profesional.

“Pasal duit dah banyak. Kalau dulu duit tak ada, dorang kata kenapa kebajikan rakyat terabai dan kenapa pembangunan yang sepatutnya tidak dapat dilaksanakan di negeri Terengganu.

“Tapi sekarang ni kita dah bagi mereka royalti dan projek-projek kerajaan persekutuan pun kita terus jalankan tanpa adanya pilih kasih.

“Maka dengan itu, dengan duit royalti ini sepatutnya mereka boleh memenuhi kehendak rakyat dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Kampung Pak Madah, pada Ahad.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkata, beliau tidak menolak kemungkinan sememangnya wujud beberapa dakwaan penyelewengan wang royalti untuk kegunaan parti.

Justeru, beliau meminta agar PH Terengganu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis sekiranya mendapati berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita nak tengok lah selepas diberikan duit royalti ini, sejauh mana mereka telus dan jujur dalam pentadbiran mereka.

“Dia memang ad dakwaan-dakwaan itu tapi kita mintak supaya ianya dilaporkan dengan cara yang lebih professional.

“Segala penyelewengan ataupun salahguna yang di syaki, perlu lah dilaporkan supaya boleh dipantau secara rasmi oleh pihak SPRM dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.