Malaysia Dateline

Papagomo didakwa hari ini

Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo akan didakwa di Mahkamah Kajang hari ini kerana dipercayai terlibat dalam insiden mengasari Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, baru-baru ini.

Muhamad Azri menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang memaklumkan perkara itu.

“Saya akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 509 akta sama kerana mengaibkan atas arahan pejabat Peguam Negara.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa Syed Saddiq mengalami kecederaan ‘soft injury’ pada tisu badannya dan atas sebab kecederaan serius itu, saya dituduh.

“Saya reda dengan hal ini dan akan hadir pada 9 pagi esok Mahkamah Kajang bersama-sama dengan isteri dan sahabat seperjuangan,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdulllah berkata lelaki berusia 36 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan, dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Sebelum ini, pengadu (Syed Saddiq) mendakwa diserang oleh sekumpulan penyokong Barisan Nasional dan telah dicekik oleh Papagomo,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Anggota Parlimen Muar itu sebelum ini, mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).