Malaysia Dateline

Papan kempen DAP diroboh: ‘Kita minta turun harga barang, dia turunkan papan iklan’

Calon Batu Kawah, Kelvin Yii Lee Wuen mengkritik tindakan pihak berkuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang merobohkan papan kempen mereka atas dakwaan menyiarkan mesej yang dianggap telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Papan kempen DAP yang diroboh

Kelvin berkata, papan kempen mereka hanya menggambarkan bagaimana keputusan pengundi yang mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu telah membawa perubahan baharu untuk Sarawak dan Malaysia.

Pada papan tersebut, tiga mesej dibentang iaitu tentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah yang terlibat dengan rasuah; pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST); dan pengagihan peruntukan lebih adil kepada sekolah Cina.

Namun katanya, mesej itu tidak diterima dengan baik oleh 10 orang pasukan penguatkuasa SPR dan ketua mereka.

“Hari ini, papan iklan kempen kami dirobohkan, kononnya kerana mesej di atasnya disifatkan sebagai kesalahan pilihan raya. Pada asasnya, mesej kami ialah – undi rakyat adalah penting!

“SPR tiba di Highfields, Batu Kawah sekitar jam 2 petang hari ini, dan menjelaskan kepada saya bahawa papan iklan itu mempromosikan perasaan jahat atau permusuhan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Walaupun selepas banyak percubaan kami untuk meyakinkan mereka, penguatkuasa masih berkeras. Mereka memotong papan iklan kami dengan gergaji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Papan iklan tertera gambar sayur dirobohkan

Antara yang sempat dilihat dalam rakaman video dikongsi Kelvin, papan iklan yang menyentuh tentang kenaikan harga barang turut dirobohkan pihak berkuasa.

Papan tersebut yang dicetak dengan gambar sayur, turut tertulis ‘GPS kerajaan gagal, rakyat susah’.

“Kita minta turunkan harga barang, dia pula turunkan papan iklan,” sindir Kelvin dalam hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu menerusi kenyataan Kelvin, beliau berkata, walaupun kuasa yang ada mungkin berjaya memadamkan mesej mereka dari papan kempen, taktik berat seperti itu tidak akan melenyapkannya dari fikiran rakyat.

Bahkan menurutnya, melalui kuasa peti undi, akhirnya, negara berjaya melihat salah seorang kleptokrat terbesar di dunia disabitkan kesalahan di mahkamah undang-undang.