Papan tanda besar, skuad cegah bunuh diri halang individu terjun di Jambatan Pulau Pinang

Oleh ARIF ATAN

Senator Lim Hui Ying menyarankan agar papan tanda besar dengan mesej dan nombor telefon pihak berkaitan diletak di pintu masuk Jambatan Pulau Pinang untuk menghalang cubaan membunuh diri.

Menurutnya, langkah berjaga-jaga tambahan lain juga perlu dipertimbangkan seperti penubuhan “skuad cegah bunuh diri” yang terdiri daripada penunggang motosikal sukarela terlatih.

Skuad tersebut, jelasnya, akan bergilir-gilir memantau dan menghalang individu daripada melompat dari Jambatan Pulau Pinang.

“Pihak berkuasa seperti polis, jabatan marin, dan bomba perlu meningkatkan rondaan setiap jam di sepanjang jambatan,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Setiausaha DAP Pulau Pinang tersebut berkata demikian mengulas kekerapan kes bunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Lim Hui Ying

Untuk rekod, sepanjang bulan ini sahaja dilaporkan lapan kejadian terjun dan cubaan terjun difahamkan berlaku di jambatan itu atau sebanyak 12 kes sepanjang tahun ini.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, rangkaian sokongan yang kukuh untuk individu dan keluarga perlu dibina melalui kumpulan akar umbi yang diketuai oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang di setiap kawasan kediaman.

“Fokusnya adalah untuk menangani dan menyokong mereka yang sedang bergelut dengan masalah. Sebagai contoh, kumpulan sasaran termasuk mereka yang kesihatan atau mata pencarian mereka terjejas teruk oleh wabak, atau mereka yang keluarga mereka mengalami kesulitan emosi atau kewangan,” jelasnya.

Selain itu, katanya, badan kebajikan tempatan, komuniti agama, atau NGO harus mendekati dan menghulurkan bantuan kepada individu terbabit yang memerlukan.

“Ini boleh dalam bentuk kaunseling, kumpulan sokongan dan penyediaan bantuan kewangan atau material,” ujarnya.

Dalam masa sama, Hui Ying berkata, aspek pemerkasaan agensi kebajikan di bawah kerajaan persekutuan dan negeri perlu diberi perhatian untuk menyediakan program terperinci yang membantu membina semula daya tahan psikologi dan sosial individu terbabit.