Malaysia Dateline

Papan tanda tulisan Cina, kuasa kerajaan negeri, kata Khalid

Menteri Wilayah Khalid Samad berkata keputusan penggunaan papan tanda nama jalan dalam bahasa Mandarin adalah keputusan yang dimuktamadkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Kerajaan Persekutuan, tidak mengetahui tindakan tersebut kerana segala kuasa melibatkan kerajaan negeri adalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Itu keputusan kerajaan negeri Selangor, saya di peringkat Kementerian Wilayah tidak tahu apa perbincangan mereka.

“Kalau Sultan sudah keluarkan titah, kita kena akur kerana saya fikir ada perbincangan di peringkat negeri, DUN dan PBT.

“Itu saya tidak tahu kerana saya tidak terlibat dalam perbincangan, jadi latar belakang cerita saya tidak tahu,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini, lapor Malaysiagazette.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam diminta mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Titah itu dizahirkan menerusi Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Dalam pada itu Khalid berkata, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa sekiranya ada negeri-negeri lain yang mahu mengikut jejak langkah kerajaan Negeri Selangor itu.

“Itu terpulang kepada negeri masing-masing, kerana ini berlaku di bawah penguatkuasaan negeri,” katanya lagi.

Titah baginda itu dipercayai susulan laporan media sebelum ini mengenai beberapa papan tanda nama jalan di Shah Alam yang sebelum ini ditulis dengan Bahasa Melayu dan Jawi namun kemudian ditukar kepada tulisan Cina serta mengekalkan Bahasa Melayu.

Sebelum ini, timbul perbalahan di peringkat media sosial di Shah Alam yang mempersoalkan kewajaran papan tanda nama jalan di kawasannya ditulis dengan bahasa Cina.

Dalam perkembangan sama, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), turut memaklumkan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Januari 2017 telah memutuskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa selain daripada tulisan rumi.

Menurut Twitter MBSA, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi manakala di kawasan kampung baharu menggunakan tulisan bahasa Cina bersesuaian dengan komuniti penduduk di kawasan tersebut.