Kira-kira 50 selebriti tempatan termasuk penyanyi terkenal bergelar Datuk sebenarnya masih kekal berstatus muflis walaupun dilihat seperti tergolong di dalam kategori ‘artis kaya’.
Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Insolvensi (MDI) yang turut memaklumkan bahawa ada di antara selebriti ini enggan bekerjasama membayar sumbangan bulanan ditetapkan selepas kes kebankrapan mereka ditadbir agensi berkenaan.
Malah ada di antara artis berstatus muflis ini cukup gemar memaparkan kehidupan mewah di media sosial namun masih gagal melakukan bayaran bulanan yang ditetapkan berdasarkan kemampuan walaupun jumlah dikenakan itu adalah kecil, lapor Berita Harian.
Ketua Pengarah MDI, Datuk M Bakri Abd Majid berkata, sikap selebriti yang enggan menemui pegawainya untuk membincangkan kes kebankrapan walau notis bankrap sudah lama dikeluarkan juga turut menyukarkan proses membantu melepaskan individu terlibat dari status muflis mengikut peruntukan undang-undang.
“Ada di antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status bankrap, contohnya kes sudah melebihi lima tahun. Tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama baik atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, jadi mereka kekal bankrap hingga kini.
“Memang jumlah selebriti yang muflis di negara ini tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat ini sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Difahamkan, antara artis yang belum dilepaskan daripada status bankrap itu ialah dua penyanyi rock terkenal negara yang masih lagi aktif dalam dunia hiburan dan beberapa pelakon popular termasuk ahli perniagaan, tokoh korporat serta beberapa ahli politik.
Jelas M Bakri, semua pihak mengetahui bahawa status bankrap yang dikenakan itu bukan penamat kehidupan sebaliknya boleh dibebaskan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun jika mematuhi kriteria ditetapkan dan mengikut arahan MDI dalam menguruskan kes muflis.
“Antara kriteria yang dilihat jika orang bankrap mahu dilepaskan daripada muflis ialah menjadi ‘individu bankrap yang baik’ iaitu membayar sumbangan bulanan ditetapkan tanpa culas dan menghantar laporan pendapatan serta perbelanjaan setiap enam bulan kepada MDI.
“Jika mereka masih dalam tempoh bankrap dan mahu keluar negara atas urusan rasmi atau mahu melakukan ibadah, MDI sedia menimbang permohonan itu mengikut syarat ditetapkan. Tetapi malangnya ada artis menyalahgunakan kemudahan diberikan itu,” kesalnya.
M Bakri juga tidak menafikan kemungkinan wang yang diperoleh segelintir artis hasil dari kerja seni dimasukkan ke akaun bank pihak lain termasuk ahli keluarga sehingga menyebabkan kehidupan mereka tidak terjejas dan masih menerima pendapatan lumayan walau berstatus bankrap.
Walau bagaimanapun, satu tindakan tegas bakal diambil terhadap pihak terlibat sekiranya MDI berjaya mengesan kes seperti itu (memasukkan wang ke dalam akaun orang lain) kerana telah menyembunyikan pendapatan yang diperoleh.
Dalam pada itu, M Barkri turut memaklumkan bahawa di antara punca selebriti diisytihar muflis adalah disebabkan oleh kegagalan perniagaan, pembelian hartanah mewah termasuk kenderaan dan menjadi penjamin kepada orang lain.
Baca juga: Patutlah bengkel orang Melayu susah nak buat duit macam bengkel orang Cina