Malaysia Dateline

Paparan Jalur Gemilang ‘bintang lima’ dikesali NGO Pakatan Harapan

Rakyat negara ini diseru agar melindungi bendera Jalur Gemilang menjadi mangsa tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Gabungan NGO Pakatan Harapan Asri Talib berkata, insiden yang berlaku ketika perasmian rasmi Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28
semalam amatlah dikesali.

” Bendera adalah penting terutamanya untuk sesebuah negara. Tanpa adanya bendera, agak sukar untuk sesebuah negara itu wujud, dikenali, dihormati dan dipandang tinggi oleh negara-negara lain dalam dunia.

“Setiap rakyat yang cintakan negara mereka akan sentiasa mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi bendera negara mereka.

“Adalah penting supaya bendera negara kita dilindungi daripada menjadi mangsa tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.

Sejak malam tadi video berdurasi 1 minit 42 saat itu tular di media sosial.

Justeru kata Asri, bendera negara harus bebas daripada menjadi mangsa kepada sebarang isu politik atau pun ketidakpuasan hati mana-mana pihak.
“Bendera negara kita juga harus dikibar dengan penuh tertib, penuh rasa bangga dan dengan penuh rasa hormat.

“Gabungan NGO Pakatan Harapan, amat kecewa dan rasa kesal ke atas penyiaran yang bersifat sengaja oleh Persatuan Bola keranjang Malaysia (MABA) yang menyiarkannya di skrin dengan paparan bukan bendera Malaysia yang sebenar.

“Ia bersifat penghinaan kepada negara dan bangsa Malaysia sendiri.

Pihak Gabungan NGO Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Persatuan Bola keranjang Malaysia (MABA) dan mendesak pihak berkuasa dapat mengambil tindakan keatas penghinaan tersebut.

Hari ini MABA dalam satu kenyataan, telah memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.