Paparan lambang salib: Pas desak Mujahid tidak pertahan agenda sebar kristianisasi

Paparan lambang salib: Pas desak Mujahid tidak pertahan agenda sebar kristianisasi
Nasrudin Hassan

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengingatkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa tidak bersikap defensif dalam menangani isu paparan lambang salib di bangunan kediaman Grace Rasidence, Jelutong., Pulau Pinang.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata,kenyataan  menteri agama mengenai isu  itu, dilihat lemah untuk mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia, sedangkan ia turut dikecam oleh ramai netizen dan ditegur oleh Mufti Pulau Pinang.

“Kenyataan YB Menteri Agama semalam dilihat tidak tegas dan berdolak dalih. Ia telah mengecewakan hati umat Islam di Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

“Pas meneliti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang dan pihak pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd beberapa hari lalu.

“Kedua-dua kenyataan tersebut cuba memperbodohkan rakyat. Setelah beberapa minggu gambar salib ditularkan, sekarang mereka mendakwa ia adalah abjad Cina yang bermaksud wang atau nasib baik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nasrudin mendakwa, pemilik bangunan cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum serta agama di Malaysia. Ini kerana lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Tambahan pula, pengasas dan pengarah urusan pemaju projek berkenaan ialah seorang yang aktif terlibat dengan Nehemiah Project (Biblical Entrepreneurship) dan giat mempromosikan agenda kristianisasi,”ujarnya lagi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata beliau belum menerima laporan rasmi berhubung isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, Pulau Pinang.

Menurut beliau sudah berhubung dengan pihak Mufti Pulau Pinang dan kerajaan negeri mengenai perkara itu dan berharap ia akan diterima secepat mungkin.

Dr Mujahid dipetik berkata, isu paparan salib berkenaan perlu diteliti sama ada ia dilakukan dengan niat untuk menimbulkan keresahan dan sensitiviti agama atau hanya sekadar struktur saja.

“Kadang kala kita tengok sesuatu struktur itu nampak macam salib kalau dipandang dari jauh atau sisi atas, malah kalau kita depa tangan ketika berdiri, itu pun boleh dianggap sebagai salib.

“Isunya di sini, adakah ia dilakukan dengan niat atau sebaliknya. Saya difahamkan kalau dipasang lampu (pada bangunan itu), ia bukan tanda salib tetapi perkataan bahasa Mandarin yang membawa makna ‘ong’ (tuah). Saya tidak tahu, itu kata orang… saya belum menerima laporan rasmi,” kata Dr Mujahid.