Paparan lambang salib: Teras sokong saranan Mufti Pulau Pinang

Paparan lambang salib: Teras sokong saranan Mufti Pulau Pinang

Pihak berkuasa tempatan harus menyiasat dan memastikan sama ada paparan lambang salib di bangunan kediaman Grace Residence, Jelutong Pulau Pinang disengajakan atau sebaliknya.

Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras) Abdullah Mohd Nor berkata, beliau menyokong saranan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor supaya isu tersebut ditangani secara cermat dan bijaksana mengikut undang-undang sedia ada.

“Walaupun negara ini membenarkan kebebasan bersuara dan beragama, sensitiviti Agama Islam sebagai Agama Persekutuan harus dihormati oleh semua rakyat dalam negara ini.

“Apabila ia berada pada peringkat Persekutuan, maka ia membawa pengertian ia adalah suatu perkara yang amat bernilai dan berharga serta tidak boleh diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

“Sepertimana kita semua sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan turut melarang apa jua usaha dan kegiatan bagi mempromosi maupun menyebarluaskan agama lain dikalangan umat Islam, ” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu katanya, semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri harus peka dan senantiasa memberi perhatian serius dalam isu membabitkan sensitiviti masyarakat Islam.

Malah ujarnya, hubungan baik dan harmoni yang telah sekian lama terjalin dalam negeri dan negara ini harus dikekal dan ditingkatkan bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat majmuk dalam negara ini.

“Semua pihak mesti peka dan sensitif mengenai perkara sebegini.

“Seandainya begitu ketara ia memberi kesan yang boleh membawa polemik besar dalam kehidupan masyarakat maka pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan segera.

“Hilangkan kegusaran masyarakat dan hormati sensitiviti Agama Persekutuan tanpa adanya apa jua usaha untuk menimbulkan kerisauan dikalangan masyarakat, ” tambahnya.

Saran Abdullah lagi, pemimpin masyarakat termasuklah kerajaan negeri harus segera mengambil tindakan agar tiada kebimbangan yang wujud dengan kemunculan lambang yang secara tiba-tiba ditengah-tengah kawasan Jelutong tersebut.

Pada 11 Januari lepas, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, meminta kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyelesaikan isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong,

Pada Rabu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata beliau belum menerima laporan rasmi berhubung isu paparan lambang salib itu.

Mujahid dipetik berkata, isu itu perlu diteliti sama ada ia dilakukan dengan niat untuk menimbulkan keresahan dan sensitiviti agama atau hanya sekadar strukturya saja.