Malaysia Dateline

Paparkan sikap rahmah di Aidilfitri selari pesanan Rasulullah, kata Muhyiddin

Sempena menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Raya dan menasihati umat Islam untuk menyambut Aidilfitri dengan memaparkan sikap rahmah selaras dengan pesanan Rasulullah SAW.

Beliau dalam kenyataannya di Facebook berkata, antara ciri penting keperibadian seorang Muslim ialah sikap rahmah atau kasih sayang sesama manusia sebagaimana sabda Rasululullah yang bermaksud ‘Sayangilah yang di bumi, nescaya kamu akan disayangi yang di langit’.

Beliau turut merakamkan ucapan kesyukuran berpeluang menjalani ibadah puasa dan beramal ibadat sepanjang bulan Ramadhan yang penuh barakah, maghfirah dan rahmah.

“Mudah-mudahan madrasah Ramadhan yang kita lalui telah berjaya meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dan membentuk keperibadian kita sebagai Muslim yang sejati.

“Kejayaan mengharungi madrasah Ramadan seharusnya terpancar menerusi keperibadian yang menjadikan umat Islam lebih bertakwa kepada-Nya dan insan yang lebih menyayangi sesama umat manusia.

“Hindarkan bibit-bibit kebencian, permusuhan dan persengketaan. Berhati-hatilah mengeluarkan tutur kata supaya tidak menimbulkan prasangka dan sengketa baik sesama umat Islam mahupun dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita,”katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut mengajak umat Islam untuk menyuburkan rasa kasih sayang sesama ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, dan warga Malaysia seluruhnya.

“Sesungguhnya begitu banyak panduan dan pedoman di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w tentang keperibadian unggul seorang Muslim yang sentiasa menjaga tertib dalam hubungannya dengan Allah dan juga hubungan sesama manusia,” ujarnya.