Malaysia Dateline

Para pemimpin PH tidak menentang rombakan Kabinet

Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak menentang terhadap cadangan rombakan Kabinet, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka tidak menentangnya. Mereka tidak berkata tolong jangan rombak saya,” kata Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH ketika ditanya oleh pemberita mengenai sentimen para pemimpin PH mengenai langkah untuk merombak Kabinet, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

Dr Mahathir berkata, keputusan untuk merombak Kabinet akan turut mengambil pertimbangan akan pandangan umum.

“Kita akan cari apa yang telah membuatkan orang ramai tidak gembira dan jika mereka dapati kita tidak bertindak apa-apa, kita akan cuba perbetulkan atau jika mereka mengutarakan bahawa kita perlu rombak, kita akan pertimbangkan,” katanya.

Apabila ditanya sama ada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik ke dalam Kabinet baharu, Dr Mahathir berkata, “Saya belum membuat keputusan lagi.”

Jawapan itu mendapat reaksi spontan daripada Anwar, yang juga ahli Parlimen Port Dickson pada persidangan akhbar itu: “Tetapi, saya tidak memohon (sebarang jawatan).”

Menjawab pertanyaan sama ada terdapat sebarang usaha oleh kerajaan untuk mendengar permintaan rakyat berhubung pentadbirannya, Dr Mahathir berkata rakyat juga terbahagi kepada dua kumpulan – sebahagian menyokong dan sebahagian lagi tidak.

“Sebahagian amat menyokong. Mereka yang menyokong tidak terlalu lantang. Mereka yang tidak gembira, bersuara banyak.

“Kita perlu membuat penilaian terhadap siapa yang patut kita ikut. Mereka yang menentang atau mereka yang mahu rombakan atau mereka yang tidak mahu, semuanya mesti diambil pertimbangan,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat sebelum mesyuarat mingguan Kabinet, Dr Mahathir berkata beliau menjelaskan kepada Seri Paduka mengenai masalah yang dihadapi oleh kerajaannya.

“Saya jelaskan kepada Yang di-Pertuan Agong masalah yang kita hadapi adalah kita tidak bebas sepenuhnya untuk melakukan semua mengikut kehendak kita.

“Kita perlu dinasihati oleh kehendak rakyat, sentimen orang ramai. Kita adalah kerajaan daripada lima parti, bukan mudah untuk mengubah kerajaan,” katanya.

— BERNAMA