Malaysia Dateline

Para pendakwah yang tidak menyokong parti politik PRU15 tidak perlu dikenakan tindakan, kata Mahiaddin

Tan Seri Mahiaddin Yassin berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

Katanya, pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam.

“Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah,” kata beliau.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada Perikatan Nasional dalam PRU-15 yang lalu.

“Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen, selain beberapa video TikTok ceramah mereka disekat.

Baca juga: Pendakwah jawab isu ‘ustaz Pas’ kena sekat kuliah di Pahang