Malaysia Dateline

Paradoks Dr Mahathir dalam peralihan kuasa

Apabila menyebut paradoks Mahathir teringat kepada buku karya Khoo Boon Teik bertajuk Paradoxes of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamad. Dalam buku itu saya tertarik kepada satu pandangan Khoo mengenai Tun Dr Mahathir.

Katanya Mahathir adalah misteri kepada rakyat dan para penganalisis. Beliau mengungkapkan idea-idea yang kontradiksi dan mengunjurkan imej-imej yang paradoksikal.

Beliau merangkumkan kata-katanya dengan apa yang F. Scott Fitzgerald jelaskan bahawa “ujian kecerdasan peringkat pertama, yang berkeupayaan mempunyai dua idea bertentangan pada satu masa dan mengekalkan kemampuan untuk berfungsi. Itulah keunikan Dr Mahathir.

Dan kita dapati paradoks Dr Mahathir itu begitu ketara dalam percaturan peralihan kuasa. Namun yang kita bimbangi ialah elit politik yang mendominasi ruang awam akan menuju ke arah keberpihakan jangka pendek, sementara aspirasi rakyat yang lebih substansial diabaikan, seperti mandat dan manifesto Pilihan Raya ke-14.

Jadi disebabkan oleh pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Dr Mahathir meletak jawatan, kejatuhan kerajaan PH kerana Bersatu telah keluar dari koalisi PH, maka terjadi paradoks dalam peralihan kuasa.

Apa yang menarik banyak paradoks Dr Mahathir dalam percaturan kuasa ini berkisar di sekitar usaha calon perdana menteri ke-9.

Paradoks pertama, – Dr Mahathir tidak diwakili oleh mana-mana parti, jika ada pun mungkin Bersatu hitam, tetapi ingin jadi PM ke-9.

Paradoks kedua – Beliau bukan pengerusi PH Plus, hanya tambahan dari PH tetapi meletakkan diri ke depan malah mencalonkan diri sebagai PM ke-9.

Paradoks ketiga – Setelah keluar PH dan masuk sebagai PH plus, beliau ingin memutuskan hubungan dengan PKR jika tidak menyokong pencalonan beliau sebagai perdana menteri dan mahu mengadakan hubungan dengan AMANAH dan DAP sahaja. Agak pelik adakah AMANAH dan DAP harus memberikan tekanan kepada PKR? Keputusan tidak terletak di tangan Mahathir tapi sebenarnya terletak pada PKR dan juga PH.

Paradoks keempat – Beliau tidak mempunyai kuasa tetapi hendak menentukan kedudukan PKR dalam PH.

Paradoks kelima – Dr Mahathir cuba melakukan dua perkara dalam satu masa: Mahu tumbangkan PN dan mahu jadi perdana menteri pada masa yang sama. Ingin mencapai dua kemahuan serentak.

Paradoks keenam – Tidakkah Dr Mahathir berfikir bahawa Mahathir dan sekutunya tidak akan dapat bertahan dalam arus politik negara sekiranya menamatkan kerjasama dengan parti yang diasaskan Anwar itu.

Paradoks ketujuh – Adakah Dr Mahathir sengaja menafikan bahawa tidak mungkin DAP dan AMANAH mahu bekerjasama secara jangka panjang dengan Tun tanpa PKR. Tanpa PKR, AMANAH dan DAP tidak dapat membawa impak besar kepada landskap nasional. Tidak mungkin DAP, AMANAH singkirkan PKR

Paradoks kelapan – Dr Mahathir menyedari bahawa kini beliau tidak mempunyai banyak pilihan kerana memiliki sedikit penyokong setia dalam kalangan kepimpinan PH, tetapi masih mahu menjadi PM ke-9.

Paradoks kesembilan – Dr Mahathir adalah hanya ahli PH Plus, Anwar adalah ketua pembangkang dan PH Plus, tetapi beliau menarik diri daripada dicalonkan sebagai perdanan menteri dan mencadangkan Presiden Parti Warisan, Shafie Afdal sebagai calon perdana menteri ke-9.

Dalam isu peralihan kuasa adakah Dr Mahathir mungkin mempunyai superiority complex, pertama – beliau tidak boleh berada di bawah orang.

Dalam hubungan ini Anwar mesti jadi timbalannya. Kedua, walau dalam barisan pembangkang dengan tidak diwakili oleh mana-mana parti politik, dia mesti dilantik sebagai ketua, bukannya duduk di bawah.

Ketiga – Bagi Dr Mahathir hanya beliau yang tahu jalan menyelamatkan negara dan mempunyai rancangan dan strategi untuk mengatasinya. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada pelan berkesan yang mampu dapat mengemudi negara.

Oleh kerana itu apabila dinamika politik yang ekstrimnya tertumpu kepada perebutan kekuasaan, maka akhirnya muncul definisi politik sebagai sekadar “siapa mendapatkan apa, bila, dan bagaimana?”.

Soalan tentang untuk apa tujuan politik itu seharusnya ditakrifkan telah terlepas dari fokus perhatian. Apa yang muncul adalah paradoks.

 

Kolumnis adalah pensyarah daripada Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)