Malaysia Dateline

Parah jika terlalu bergantung kepada Barat!

Isu terbesar penularan wabak Covid-19 sekarang di Malaysia ialah vaksin. Beberapa isu dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang terbit ialah dakwaan pihak kenamaan yang sengaja melanggar giliran pemerolehan vaksin untuk divaksin secepat mungkin, atau “memotong barisan” untuk memperoleh vaksin tanpa menghiraukan pihak barisan hadapan yang sepatutnya didahulukan, dengan pihak-pihak terbabit termasuk ahli politik dan para selebriti.

Selain itu, fahaman antivaksin juga menjadi halangan dalam menjayakan PICK, dengan langkah-langkah pencegahan terpaksa dilakukan untuk mengekang fahaman antivaksin daripada menular.

Soalan kenapa rakyat lambat menerima suntikan vaksin ditanya orang ramai dalam media sosial.
Di samping itu isu Vaksin Covid-19 AstraZeneca disahkan selamat digunakan di negara ini., kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Beliau berkata, syarikat AstraZeneca Sdn. Bhd. mengadakan satu perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lalu untuk menjelaskan situasi sebenar berkenaan isu keselamatan vaksin berkenaan terutamanya berkaitan dengan kesan sampingan penggumpalan darah (thromboembolic events).

Baru-baru ini pemberian vaksin AstraZeneca (AZ) kepada rakyat pun bercelaru dengan dakwaan bahawa talian khidmat pelanggan atau hotline Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) seperti tidak berfungsi.

Rasanya imuniti rakyat adala penting daripada tularan wabak C-19 dan ia bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal seperti di beberapa negara Barat di mana rakyatnya telah menerima suntikan vaksin.

Bagaimana pula jika ada varian baharu seperti Varian dari India, United Kingdom dan Afrika Selatan dikesan di negara ini menambahkan kebimbangan tentang kadar jangkitannya ke atas rakyat Malaysia dan adakah kita memerlukan vaksin yang baharu pula?

Daripada penularan C-19, apa yang dapat dipelajari ialah kebanyakan negara sedang membangun termasuk Malaysia masih bergantung kepada Barat dan negara kuasa besar. Lihatlah isu vaksin sudah menunjukkan negara Barat masih menguasai segala teknologi dan dalam kes ini adalah teknologi vaksin.

Senjata sulit globalisasi di sebalik segala kecanggihan dengan metafora dan kemeriahan dunia tanpa sempadan ialah pergantungan berterusan dan konsep kampung sejagat bermakna Barat telah menjadi dunia bagaikan kampung di mana kebergantungan kepada mereka semakin akrab dalam masyarakat global.

China telah belajari daripada Perang Dagang antara mereka dengan Amerika semasa pemerintahan Presiden Donald Trump di mana banyak bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk komponen telefon bimbit Huawei daripada syarikat AS telah ditahan oleh Washington. Contohnya sesiapa yang memiliki telefon bimbit Huawei tidak dapat membuat capaian kepada Google Play Store sebab AS tidak membenarkan capaian dibuat.

Huawei pada masa itu terpaksa mendapat bekalan bahan mentah untuk telefon bimbitnya daripada pembekal Rusia dan negara lain. Huawei terpaksa menghasilkan Play Storenya sendiri. China telah belajar daripada pengalaman ini untuk tidak bergantung kepada AS dari segi pemindahan teknologi.

Perhatilah isu wabak C-19 ini, India dan Afrika terpaksa membuat permohonan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) supaya menangguhkan sementara cenkaman harta pemilikan inteketual ke atas hak cipta ubat-ubatan. Tujuan mereka ialah supaya harta intelektual dalam teknologi vaksin itu dapat dipindah kepada negara mereka.

Penggunaan dan penghasilan vaksin di peringkat dengan lesen daripada syarikat induk katakana Pfizer membolehkan rakyat mendapat vaksin di peringkat dengan tidak perlu mengimport. Ia seperti penghasilan jenaman generik Panadol dengan mendapat kebenaran lesen daripada syarikat induknya.

Sehingga ke hari ini, Malaysia masih belum mempunyai kepakaran untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurut pakar perubatan keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Suhazeli Abdullah berkata, jika negara mempunyai kemajuan teknologi dan kewangan yang mantap, Malaysia mampu untuk membuat vaksin sendiri.

“Jika kita mempunyai prasarana yang cukup dan kewangan yang mengizinkan, Malaysia mampu untuk membuat vaksin sendiri.

Mahukah negara Barat di bawah Perjanjian Perdagangan dalam Hak-Hak Milik Intelektual yang berada di bawah WTO membenarkan pemindahan teknologi berlaku?

Tidak pastikan apakah penyelesaian kita selain daripada pergantungan vaksin kepada Barat dan negara kuasa besar?

Jika ada jalan penyelesaian pun ia tidak bersifat saintifik yang dibaca melalui laman media sosial seperti makan vitamin C, minum air masak, dedahkan diri kepada cahaya matahari atau terkini mimpi seorang wanita Turki yang dua kali bertemu Nabi saw dan dalam mimpi tersebut baginda saw mencadangkan penyelesaian kepada penularan wabak C-19 ialah mengambil sumac, sejenis pepohon yang diperolehi di kawasan subtropika dan beriklim sederhana di seluruh dunia, terutamanya di Afrika dan Amerika Utara.

Bayangkan ini caranya penyelesaian vaksin yang kita perolehi.

Terdapat pandangan berkenaan penggunaan produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan COVID-19. Namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil Ivermectin untuk tujuan tersebut berikutan tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan dan pencegahan COVID-19.

Dalam hubungan ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan bahawa setakat ini tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.

Sehubungan itu Food Drug Administration, Amerika (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan ataupun sebagai pencegahan COVID-19. Perkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19’ bertarikh 3 Mei 2021.

Malaysia dan negara Islam tidak ada jalan penyelesaian atau alternatif kepada serangan virus C-19 dan kita akan terus bergantung kepada vaksin daripada Barat. Oleh itu buat masa sekarang untuk realiti jangan berharap negara Islam akan bersatu mempertahankan Palestin jika diserang pengganas Israel. Negara Islam harus bertindak secara individu atau di bawah radar.

Bayangkan kehadiran kapal terbang Israel di ruang udara Malaysia selama 4 jam pun kita tidak dapat berbuat apa-apa, inikan pula mencari altenatif kepada vaksin. Beginilah parahnya jika terlau bergantung kepada Barat.
—————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual, Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).