Parahnya krisis dunia Islam

Sungguh malang, umat Islam yang dibekalkan Al-Quran, hadis dan Sunnah, menghadapi krisis yang dilihat berpunca perbezaan pendekatan terhadap melaksanakan Islam dan dilatari pelbagai keangkuhan.

Perpecahan di dunia umat Islam kini semakin parah dan tidak adanya seorang tokoh pemimpin ummah yang boleh diterima untuk menyatukannya.

Di dunia Arab, yang penuh pertentangan antara satu sama lain itu, memandang sepi kemunculan tokoh pemimpin seperti Recep Toyeb Erdogan, agaknya bukan semata-mata kerana Presiden Turki itu tidak memakai jubah dan sarban, tetapi kerana ia datang dari Turki, bukan dari dunia Arab.

Sepanjang sejarahnya, negara Arablah yang turut membantu meruntuhkan kejatuhan peemerintahan Uthmaniah Turki pada tahun 1924 itu.

Sebuah demi sebuah negara Arab bersekongkol dengan British menarik diri dari kerajaan Uthmaniyah, yang mendorong Mustafa Kemal Attaturuk, seorang general berketurunan Yahudi, merampas kuasa dari kerajaan Uthmaniyah pimpinan Sultan Abd Hamid II pada tahun 1924.

Sejarahnya sangat menyedihkan, namun itulah yang telah berlaku.
Hingga kini perpecahan di dunia umat Islam semakin parah. Tidak ada satu hari pun yang sunyi dari sengkita, malah keganasan yang amat mengerikan. Bahkan baru-baru ini, ada ledakan serangan berhampiran dari Masjid Nabawi di Madinah. Sesuatu yang tidak pernah terfikirkan akan berlaku kejahatan seperti itu. Di mana lagi yang selamat?

Pertempuran dan ‘serangan berani mati’ meletus di sana sini, terutama di Syria, Iraq dan sekitarnya. Hampir-hampir tidak ada tempat yang selamat. Keganasan, seolah-oleh, menjadi sebahagian dari kehidupan di dunia Umat Islam terutama di Semenanjung Arab.

Akibatnya jutaan pelarian Arab yang sangsara melimpah ke Turki dan negara lain di Dunia.

Dahulu perpecahan di dunia umat Islam ini, terutamjanya, berpunca dari isu Sunni-Syiah, tetapi kini perpecahan itu ditambah dengan pelbagai sebab.

Isu takfiri, atau mengkafirkan sesama umat Islam, yang berlainan pendekatan untuk melaksanakan Islam, dilihat menjadi sumber penting semakin parahnya krsis di dunia umat Islam.

Skuad berani mati – Negara Islam atau IS -, konon atas nama jihad, membunuh sesama umat Islam dan orang bukan Islam, dengan amat ganasnya, di samping memusnahkan bangunan dan harta benda yang lain. Keganasan ini diexport pula ke negara Barat, malah di negara rantau ini sendiri.

Ini menyebabkan seluruh dunia merasa amat bimbang, disebaabkan keganasan ini, yang merosakkan nama baik Islam sendiri.

Gejala mengkafirkan sesama umat Islam dan memandang negara bukan Islam sebagai musuh, seperti dikatakan tadi, menyebabkan krisis di dunia umat Islam semakin parah.

Selain itu, sebelum ini, perselisihan di antara sesama pemerinahan negara umat Islam berlaku, umpamanya beberapa tahun lalu, apabila berlaku rampasan kuasa di Mesir, di mana kerajaan Presiden Dr. Mohd Morsi, yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir, telah digulingkan oleh tentera pimpinan General Fatah As-Sisi.

Ribuan rakyat Mesir, terutama penyokong Presiden Mohd Morsi telah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera dan ribuan ditangkap, dipenjarakan hingga kini.

Ini berlaku di bulan Ramadzan beberapa tahun lalu, menyebabkan bumi Mesir, terutama di Kaherah dan bandar-bandar lain, berlumuran darah rakyatnya sendiri.

Dr. Mohd Morsi, yang kini di dalam penjara Mesir bersama sekian ramai tokoh kerajaan Morsi telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah tentera. Tetapi hukuman terhadap Morsi hingga kini belum dijalankan.

Kemudian As-Sisi melantik dirinya sendiri sebagai Presiden Mesir, dengan menangkap sekian ramai musuh politiknya.

Sungguh malang sekali, dalam suasana kalut di negara Islam kini, Presiden Ulama Sedunia, Prof. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi, yang kini menetap di Doha, Qatar, ‘tidak selamat’ jika keluar negeri, termasuk di dunia Arab sendiri.

Dalam keadaan sekarang, tidak ada pemimpin dunia Islam yang boleh meredakan krisis ini atau boleh diterima oleh dunia umat Islam.
Presiden Erdogan yang berkarismatik itu tidak tidak mungkin diterima oleh dunia Arab, kerana dia datang dari Turki di mana pendekatannya berbeza dari dunia Arab.

Dalam kejadian rampasan kuasa yang gagal di Turki baru-baru ini, dunia Arab memandang sepi kejayaan kerajaan Erdogan mematahkan rampasan kuasa itu, yang didalang oleh seorang ‘Imam’ yang kini menetap di Amerika.

Inilah antara isu besar yang menyebabkan dunia umat Islam sukar dibaik pulih.

Di samping itu berlaku juga sejak sekian lama – yang menyebabkan perselisihan – ialah isu ketaksuban dari kumpulan itu dan ini yang dilatari oleh ego pemimpin dan pengikut sesuatu kumpulan.

Sesungguhnya, memang sungguh malang, umat Islam yang dibekalkan dengan Al-Quran, hadis dan Sunnah, menghadapi krisis yang mendalam ini, yang dilihat berpunca dari perbezaan pendekatan terhadap melaksanakan Islam dan dilatari oleh pelbagai keangkuhan.

 

TAGS