Paras air empangan seluruh negara susut teruk

Paras air empangan seluruh negara susut teruk

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Paras air di kebanyakan empangan seluruh negara merekodkan penyusutan berikutan cuaca panas dan kering akibat gelombang haba serta fenomena El Nino.

Di Perak, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Datuk Ir Abdul Razak Dahlan berkata walaupun berlaku penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah di Kerian, namun ia belum mencecah tahap kritikal iaitu 6.1 meter.

Beliau berkata sehingga hari ini, paras air semasa di empangan itu adalah 6.522 meter berbanding 6.583 meter yang direkodkan, Ahad lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata pembenihan awan masih tidak dapat dilakukan di beberapa kawasan di utara Perak hari ini kerana tiada tompokan awan sesuai.

Katanya paras air di beberapa empangan utama di Perak seperti Empangan Air Kuning, Taiping dan Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta masih belum mencapai tahap kritikal.

Di Kedah, paras air di tiga empangan utama setakat 8 pagi tadi iaitu Pedu, Muda dan Ahning mencatatkan bacaan keseluruhan sebanyak 71.24 peratus atau 1.07 juta meter padu.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan berkata jumlah air berkurangan 13.98 peratus bagi tempoh sama tahun lepas dan setakat ini empangan Pedu menunjukkan bacaan 73.47 peratus, empangan Muda (45.88 peratus) dan Ahning (76.72 peratus).

Di PERLIS, paras air Empangan Timah Tasoh, Kangar mencatatkan 26.29 meter hari ini, susut sebanyak 0.02 meter berbanding 26.31 meter yang direkodkan semalam.

Pengarah JPS Perlis Abdul Najib Abdullah bagaimanapun menjangka air empangan itu mampu bertahan untuk memenuhi keperluan domestik sehingga Mei ini jika kemarau berlanjutan.

Katanya empangan Timah Tasoh yang menampung sebanyak 13.21 juta meter padu air menyalurkan sebanyak 58,000 meter padu air sehari untuk pengguna domestik di kawasan Padang Besar, Wang Kelian dan utara Kangar.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata operasi pembenihan awan akan dilakukan hari ini di kawasan Empangan Timah Tasoh dan operasi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia itu dijangka berterusan sehingga 18 April.

Di Melaka, Badan Kawal Selia Air Melak dalam kenyataan berkata paras air di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah hari ini berada pada tahap amaran iaitu 51.7 peratus.

Dua lagi empangan, berada pada tahap baik iaitu Empangan Asahan, Jasin pada bacaan 85.8 peratus dan Empangan Jus, Jasin pada 75.1 peratus.

“Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus kali terakhir menerima hujan semalam menaikkan paras air di empangan masing-masing sebanyak 4mm dan 47mm. Empangan Asahan pula kali terakhir menerima hujan pada 10 April lepas menaikkan paras air sebanyak 20mm,” menurut kenyataan itu.

Malaysia kini mengalami fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.

TAGS