Malaysia Dateline

Parasit Politik?

 

Apa yang melahirkan debaran dalam  gelora politik ialah perletakan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Perkara ini telah disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengatakan Tun Mahathir telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri

“Surat tersebut telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 tengahari (24 Februari),” kata pejabatnya dalam satu kenyataan media.

Setengah jam kemudian, Dr Mahathir turut mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Surat tersebut dihantar kepada ibu pejabat parti hari ini, menurut satu kenyataan Pejabat Pengerusi Bersatu.

Sehubungan itu dua senario pencitraan telah muncul berhubung keputusan Tun Mahathir. Pencitraan pertama,  Perdana Menteri dah bosan dan kecewa dengan apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam lalu. Dia dikatakan tidak bersetuju dengan pencaturan pemimpin partinya sendiri sejak dari mula lagi.

Dalam citra pertama, alasan Tun Mahathir letak jawatan kerana kesal dengan sikap dan pendirian partinya yang mahu keluar dari Pakatan Harapan (PH). Bahkan Tun Mahathir telah menolak keputusan partinya untuk keluar dari PH ketika mesyuarat PPBM di Menara Yayasan Selangor. (Malaysia Dateline, 24 Februari 2020) Malah perkara telah dinyatakan oleh Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng dalam Astro Awani.

Tetapi Tun Mahathir tidak membuat sebarang kenyataan berhubung dengan alasan beliau meletakkan jawatan. Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yakin Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah individu yang menjadi dalang di sebalik gerakan pengaturan semula landskap politik negara.

Katanya Dr Mahathir tidak akan meletak jawatan sebagai perdana menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya gerakan itu adalah rancangannya.

Sementara senario citraan kedua ialah Tun Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan agar beliau boleh menjadi perdana menteri yang sah mewakili gabungan baru itu yang juga diperwajahkan sebagai Muafakat Bersatu.

Dalam senario pencitraan kedua, saya merasakan seolah-olah pi mai pi mai tang tu, seolah-olah kita berbalik kepada Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Tun Mahathir dikatakan menjadi perdana menteri kelapan Malaysia selepas berkhidmat sebagai perdana menteri keempat dari 1981 hingga 2003 dan perdana menteri ketujuh dari 10 Mei 2018 hingga 24 Feb 2020.

Jika saya menggabungkan kedua-dua senario citra atau pengwajahan ini, saya merasa seperti wujud elemen parasit politik.

”Parasit” tumbuh di atas pohon demokrasi kita sekarang. Parasit yang bagi saya dapat merosak sistem metabolisme, mengacau arus peredarannya dan menghancurkan jejaring akarnya.

Pohon tua ini sedang  digerogoti tempat hidupnya oleh apa yang gelar ahli ”politikus parasit”,  yang saling menghisap di pohon ini. Dalam sepak terjangnya, mereka yang mengamal politik parasit ini tidak hanya individu, tapi juga membentuk kelompok, pakatan, atau jejaringnya.

Melalui pohon demokrasi ini mereka membangun jejaring ”sistem parasit”, secara berkelompok, sistematis, dan  membangun pelbagai  tindakan yang bertentangan dengan demokrasi: rasuah jemaah, rekayasa berkelompok serta kebohongan bersama-sama dalam sistem parasit yang mereka wujudkan.

Parasit ini tidak wujud di satu pihak politik tertentu tetapi dalam semua institusi politik baik kerajaan mahupun pembangkang.

Parasit hanya dapat bernyawa dengan ”menumpang” pada sebuah tempat hidup iaitu hos mungkin kepada pohon, tubuh, alam, parti, masyarakat, sistem, atau institusi. Ia bagaikan ”penumpang gelap” (mana berani secara terang-terangan) yang lama kelamaan akan merosak tempat menumpang. Mereka adalah sang ”perosak sistem”, tidak  hanya merosak tempat, tetapi secara keseluruhannya ekosistem demokrasi yang membangunnya.

Dalam hubungan ini sang politikus parasit dapat tumbuh subur dengan berlapis-lapis, bertumpang tindih, atau timbal balik sehingga menciptakan kepelikan politik:  yang lawan jadi kawan, yang dituduh korup jadi mulia menyertai pembentukan gabungan politik baharu misalnya.

Suatu ruang gelap diciptakan di mana tiada batas-batas lagi: kawan/lawan, penuduh/tertuduh, perasuah/saksi, kerajaan/pembangkang

Dalam pengalaman politik parasit pembunuhan karakter adalah bentuk khusus parasitisisme, di mana membangun seseorang karakter diri  dengan menumpang hidup pada karakter orang lai, membangun karakter organisasi dan bergantung hidup kepada oraganisasi lain, subur dalam sistem demokrasi bebas.

Sepak terjang parasit dalam sistem politik tidak hanya tertumpu kepada invidu juga bergerak dalam  kelompok dan berjejaring. Maka yang pertama wujudnya ”komuniti parasit”, parasit berbentuk organisasi (contohnya parti parasit dan organisasi cabang politik parasit ). Kedua, ”jejaring parasit”, iaitu jejaring parasit  di media baharu khususnya di media soaial yang dibangun oleh kepimpinan elit parti, kader dan instituisi lain.

Oleh itu amalan parasit politik akan menganggu dan merosak sistem demokrasi dari dalam, dengan tindak-tanduk kontra-demokrasi: kejahatan, rasuah, manipulasi dan fitnah

Apa yang lebih merisaukan  mereka bergabung dan saling mengukuh antara sesama parasit untuk menutupi kejahatan kolektif dengan mengalihkan tanggapan dan kesedaran awam dari wilayah realiti undang-undang.

Salah satu bentuk parasit politik dalam sistem demokrasi  ialah ”kekuatan halimunan”, kekuatan tersembunyi di sebalik topeng dan realiti maya, yang merosak sistem demokrasi dalam halimunan. Mereka yang bergantung harap kepada pohon demokrasi  untuk mendapat ganjaran, kenaikan dalam politik, menjaga kepentingan tertentu, rasuah dalam gelap dan pelbagai kejahatan halimunan.

Parasit akan bertopeng bergerak di dalam ”ruang gelap demokrasi”, tempat pelbagai  kejahatan ditampilkan ke ruang awam melalui pelbagai keindahan dan permainan bahasa, sehingga kejahatan seakan-akan tiada kelihatan atau dilakukan pihak lain. Dalam ruang gelap ini berkeliaran  mereka menggerogoti pohon demokrasi. Persoalan adakah kita akan mengharungi zaman gelap demokrasi dengan disarati oleh parasit politik?

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputern, Universiti Selangor.