Parit Yaani dijadikan pusat ilmu kanak-kanak

Parit Yaani dijadikan pusat ilmu kanak-kanak

Pendidikan adalah perkara yang memerlukan kaedah kreatif bagi mendekatkan masyarakat terhadap ilmu sekaligus ia akan menjadi suatu bekalan yang terbaik buat mereka yang mempunyai ilmu.

Inisiatif itulah yang diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan dengan melancarkan pusat ilmu Al-Huda Toys Library di pekan Parit Yaani Sabtu lalu.

Berbekalkan surah Al-Iqra’, idea membuka pusat pendidikan secara santai yang menggabungkan aktiviti kanak-kanak seperti permainan, pembacaan asas, kawasan transit dan perkhidmatan komputer itu terlaksana.

Usaha yang dijayakan bersama-sama isteri beliau serta ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Sri Gading telah membuahkan hasil apabila berjaya menyediakan pusat santai kanak-kanak di Parit Yaani.

“Dalam Al-Quran telah terkandung surah di mana surah itu adalah surah yang pertama diturunkan kepada Rasulullah yang diberi nama Surah Iqra’ yang bermaksud baca.

“Maka dari saranan itulah yang membuatkan tercetusnya idea mengadakan Al-Huda Toys Library untuk mendidik kanak-kanak terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Selain itu, Al-Huda Toys Library adalah suatu alternatif perpustakaan kepada penduduk di kawasan Parit Yaani yang terpaksa mengambil masa sekitar 20 minit untuk ke perpustakaan yang paling hampir iaitu di bandar Batu Pahat.

Al Huda Toys Library bukan sahaja menyediakan bahan bacaan tapi turut menyediakan permainan dan komputer untuk kanak kanak

Usaha yang dilakukan Aminolhuda ini adalah usaha secara persendirian yang membabitkan individu berkemampuan yang lain menghulurkan sumbangan seperti buku, alat mainan, kewangan dan pelbagai lagi kelengkapan pusat tersebut.

Dari usaha ini, Aminolhuda telah menggambarkan betapa pentingnya pendidikan bagi semua manusia sehingga tertubuhnya pusat pendidikan seperti Al-Huda Toys Library.

“Saya lebih fokus kepada kanak-kanak kerana saya berpegang pada falsafah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ dan ia perlu dimulakan dari sekarang walau saya tidak dibantu oleh pihak kerajaan namun sumbangan orang ramai telah banyak membantu ke arah tertubuhnya Al-Huda Toys Library.

“Perpustakaan yang paling dekat di sini jaraknya lebih kurang 20 minit perjalanan menaiki kenderaan yakni di bandar Batu Pahat dan disebabkan perkara itulah yang membuatkan saya rasa kuat terpanggil untuk membina pusat ini,” katanya.

Ruang yang luas dan selesa untuk kanak kanak memanfaatkan masa lapang mereka

Majlis pelancaran itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari orang ramai serta turut hadir adalah wakil dari parti-parti komponen antaranya wakil DAP yang menyokong tindakan Adun Parit Yaani itu yang juga merupakan Pengerusi Amanah Negeri Johor.

COMMENTS

Wordpress (0)