Parkir di laluan pejalan kaki, DBKL angkut 11 motosikal selepas tular di media sosial

Oleh KIM SYAZIE

Laluan pejalan kaki tidak seharusnya menjadi tempat penunggang motosikal untuk meletakkan kenderaan mereka hingga menghalang orang awam melaluinya.

Sejumlah motosikal yang parkir di laluan pejalan kaki Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru telah di angkut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jumaat lalu.

Hal ini berikutan satu perkongsian tentang situasi pejalan kaki yang mengalami kesukaran untuk menuju ke destinasi yang dikehendaki tular di media sosial semalam.

Susulan itu, DBKL segera bertindak melalui Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan dengan melaksanakan Tindakan Khas Angkut Kenderaan (Motosikal) terhadap 11 buah kenderaan beroda dua itu.

“Perancangan telah dibuat bagi mengadakan tindakan penguatkuasaan menyita dan mengalihkan motosikal yang diletakkan disepanjang laluan pejalan kaki.
 
“Hari ini, sejumlah 11 buah motosikal telah dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompauan dan penyimpanan sementara,” kata DBKL.

Kelmarin, seorang pengguna media sosial Twitter bernama @DragonReine telah berkongsi satu rakaman video di laluan LRT tersebut.

Menerusi ciapan yang tular itu, umum dapat melihat lambakan motosikal telah diparkir di tempat yang dikhususkan untuk pejalan kaki.

Hasilnya, pejalan kaki terpaksa melalui bahu jalan yang tidak berbumbung selain membahayakan keselamatan sekiranya bertembung dengan kenderaan yang dipandu laju.

“Ini adalah laluan dari LRT Kampung Baru. Kawasan berbumbung telah bertukar menjadi tempat letak motosikal.

“Jadi pejalan kaki terpaksa berjalan dalam situasi hujan dan matahari,” luah pengguna tersebut yang kecewa dengan sikap pentingkan diri penunggang motosikal.

Hantaran yang tular itu nampaknya berjaya mendapat perhatian pihak berkuasa di mana DBKL hanya mengambil masa satu hari untuk menyelesaikannya.

Namun, strategi yang diambil DBKL itu hanyalah bersifat sementara dan ada pengguna yang mencadangkan agar pilihan raya majlis tempatan dilaksanakan semula bagi menyelesaikannya.

Baca juga: Peminta sedekah tidak ubah seperti gangster, mulanya panggil ‘baby’ bila tak bagi dimaki