Malaysia Dateline

Parlimen belum terima usul undi percaya terhadap PM, kata Rashid

Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang usul percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Beliau berkata, usul peribadi perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang.

Usul tersebut dijangka akan diundi pada sidang September ini seperti yang dinyatakan Mahiaddin.

“Kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Sebelum ini, Mahiaddin berkata keabsahannya sebagai perdana menteri akan ditentukan melalui usul undi percaya di Parlimen.

Sementara itu Rashid berkata, notis pemberitahuan kepada Ahli Parlimen dalam proses untuk diedarkan bagi membolehkan mereka menyediakan soalan untuk sesi soal jawab lisan dan lain-lain.

Beliau juga dilaporkan akan meneliti jumlah kapasiti individu termasuk bilangan Ahli Parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September nanti.

Menurutnya, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berhubung penetapan jumlah Ahli Parlimen dibenarkan hadir ke sidang Parlimen.

“Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang.

“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas program serahan Bantuan Bakul Makanan kepada 50 artis veteran anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Desa Melawati, di Kuala Lumpur hari ini.