Malaysia Dateline

Parlimen bersidang esok, isu Covid-19 dan vaksinasi jadi agenda

Isu berkaitan Covid-19 dan program vaksinasi muncul menjadi agenda utama dalam sidang Parlimen Singapura esok selain hal membabitkan perkauman dan agama.

Ketua Pembangkang, Pritam Singh memfailkan soalan berkaitan sama ada kerajaan komited menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan untuk mengkaji semula tindakan diambil bagi menangani pandemik itu.

Ahli Parlimen West Coast, Foo Mee Har pula mengemukakan soalan mengenai perubahan yang boleh dijangkakan oleh orang ramai apabila keadaan Covid-19 beralih daripada status ‘pandemik’ ke ‘endemik’.

Beberapa Ahli Parlimen lain pula menyerahkan soalan mengenai program vaksinasi termasuk langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan vaksin bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sejurus vaksin itu tersedia.

Menteri Kewangan, Lawrence Wong pula akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai langkah sokongan Covid-19, lapor Agensi.

Untuk rekod, Singapura berada di tangga ke-110 dunia jumlah jangkitan Covid-19 dengan 62,606 kes positif dan 36 kematian.

Sebagai perbandingan, Malaysia pada masa ini di tangga ke-35 tertinggi dengan sebanyak 772,607 kes dan 5,434 korban.

Akhir bulan lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura memutuskan tidak akan mendedahkan maklumat mengenai kes baharu Covid-19 yang dikesan dalam komuniti selepas negara itu menuju ke fasa baharu bagi menangani pandemik tersebut.

Maklumat termasuk umur dan pekerjaan pesakit serta tempat yang dikunjungi dan tarikh mereka diuji positif, tidak akan diberikan.

Sebaliknya, maklumat harian terkini oleh MOH di republik itu akan merangkumi kemajuan pelaksanaan dalam program vaksinasi.

Parlimen Singapura