Malaysia Dateline

Parlimen bersidang: Suara rakyat berjaya tewaskan PN sekali lagi

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Ahli-ahli Parlimen akan berusaha mengetengahkan isu rakyat di mesyuarat khas yang dijadualkan akan berlangsung pada 26 Julai nanti.

Beliau menyifatkan, suara rakyat Malaysia berjaya menewaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini telah menggantung sidang Parlimen sejak awal Januari tahun ini.

“Parlimen bersidang semula akhirnya. Kerajaan PN tewas lagi. Inilah kekuatan suara netizen.

“Inilah suara keramat rakyat. Kami akan bawa isu rakyat walau sebesar zarah. Kami akan suarakan,” ciapnya di Twitter semalam.

Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, persidangan Dewan Rakyat itu akan diadakan selama lima hari, manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Katanya, persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.