Malaysia Dateline

Parlimen boleh bersidang secara kendiri dengan SOP ketat

Persidangan Dewan Negara dan dewan Rakyat boleh dijalankan secara kendiri dengan mengikuti syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 sepertimana telah dijalankan semasa persidangan kedua-dua Dewan tahun lepas.

Menurut Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Datuk Amiruddin Hamzah persidangan kedua-dua Dewan telah berjaya dilaksanakan pada tahun lepas tanpa ada sebarang jangkitan atau mewujudkan kluster Parlimen.

“Tambahan pula, pada ketika itu semua yang menyertai persidangan belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, tidak seperti sekarang di mana hampir keseluruhan Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat telah sempurna mendapat suntikan vaksin yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, Ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat dari Parti Pejuang Tanahair berpandangan yang sidang Parlimen haruslah dilaksanakan segera secara kendiri bagi memenuhi tanggungjawab ahli-ahli Parlimen membahas dan memutuskan tindakan perlu bagi membawa negara kita keluar dari krisis-krisis kesihatan, politik, ekonomi dan sosial.

Sebelum persidangan secara hibrid dilaksanakan, satu Sidang Khas Parlimen akan diadakan pada awal Ogos 2021 (secara kendiri) tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM bagi membahas serta menerima resolusi yang berkaitan bagi membolehkan persidangan secara hibrid dilaksanakan.

Sidang Dewan Negara dan Dewan Rakyat dicadangkan dilaksanakan secara hibrid sekitar akhir Ogos atau minggu pertama September 2021.