Parlimen bukan kilang proses undang-undang, nasihat Sivakumar

Parlimen bukan kilang proses undang-undang, nasihat Sivakumar

Sebarang rang undang-undang (RUU) tidak wajar diluluskan secara tergesa-gesa kerana ahli parlimen perlu diberikan masa secukupnya untuk membuat persediaan awal sebelum membahaskan sesuatu perkara di Dewan Rakyat, kata ahli parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

Beliau memberi contoh RUU Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang dibaca pada kali pertama pada 4 April dan dibawa untuk bacaan kali kedua dan dibahas keesokan harinya.

“Ahli-ahli Parlimen tidak diberi masa yang cukup untuk menghadam isu-isu penting berhubung dengan perkara yang dibangkitkan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sivakumar, amalan ini bukanlah cara terbaik untuk Parlimen bersidang kerana ia akan menjejaskan kualiti perbahasan.

“Dalam kata lain, Ahli-ahli Parlimen sebenarnya dihalang daripada menjalankan kewajiban dan tanggung jawab secara profesional. Parlimen Malaysia juga tidak akan mencapai status taraf kelas dunia yang dihasratkan jika ianya diuruskan seperti ini,” ujarnya.

Dewan Rakyat mencipta sejarahnya apabila bersidang hampir 20 jam, bermula 10 pagi Rabu lalu dan berakhir pada 5.05 pagi Khamis.

Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP berkata, Parlimen tidak sepatutnya beroperasi seperti kilang.

Beliau memberi contoh peristiwa yang berlaku Rabu lalu apabila sembilan RUU disenaraikan untuk dibahas serta diluluskan dalam tempoh hanya sembilan jam.

“Kerajaan tidak seharusnya memperalatkan Parlimen untuk kepentingannya. Sesi persidangan Parlimen boleh dipanjangkan jika tidak cukup masa untuk meluluskan semua rang undang-undang yang dibentangkan itu,” katanya.

Namun oleh kerana keangkuhan kerajaan Umno-BN, institusi Parlimen dipermainkan dan diperkecilkan secara terang-terangan, kata Timbalan Pengerusi DAP Perak itu.

“Bukankah ini juga satu bentuk kezaliman terhadap rakyat apabila undang-undang diluluskan tanpa perincian,” ujarnya.

TAGS