Malaysia Dateline

Parlimen dibuka semula September ini, kata PM jika pelan pemulihan berjaya

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sidang Parlimen dijangka akan boleh diadakan semula dalam Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara iaitu pada bulan September atau Oktober akan datang.

“Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

 

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok,” kata Muhyiddin dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui TV dan Radio hari ini.

Fasa Ketiga katanya melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti  ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 yang masih ditutup.

Fasa Ketiga sekiranya berjaya akan mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2 ribu kes;
  • Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi; dan
  • 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021,” kata beliau dalam ucapan itu.

Semasa Fasa Ketiga ini, katanya, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian.

Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% seperti Fasa Kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

Semasa Fasa 3, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti.

Semasa fasa ini, aktiviti yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi, kata beliau.