Malaysia Dateline

Parlimen dicadang bersidang secara maya tangani Covid-19

Kerajaan digesa meneliti kebarangkalian mengadakan sidang kecemasan Parlimen secara  ‘maya’  bagi membincangkan cara menangani wabak Covid-19 dan kesannya terhadap sektor ekonomi.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Parlimen secara maya itu dianggap penting untuk negara menggunapakai ‘apa sahaja strategi yang diperlukan’ pada ketika ini.

“Kita sedang berada dalam satu krisis luar biasa yang memerlukan jalan penyelesaian yang luar biasa.

Parlimen boleh bersidang secara maya bagi membincangkan strategi bersama menangani Covid-19.

“Angka kematian di seluruh dunia akibat wabak ini juga telah melebihi sebanyak 50,000 kes.

“Kelewatan mengumumkan pakej penyelamatan ekonomi untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah contoh kerajaan masih perlu menggunakan strategi ‘apa sahaja yang diperlukan’ dalam menghadapi krisis yang belum pernah terjadi ini demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kit Siang berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh berlengah dan perlu mengumumkan satu pakej penyelamatan ekonomi untuk golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Katanya, ini memandangkan mereka kini menghadapi kesukaran dengan aliran tunai dan menjangkakan gangguan aliran tunai untuk sekurang-kurangnya tiga bulan akan datang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pakej penyelamatan ekonomi untuk PKS amat penting pada ketika ini kerana, kerajaan harus memberikan keutamaan kepada keberterusan dan keselamatan pekerjaan yang merupakan punca pendapatan utama sebahagian besar rakyat di negara ini,” katanya lagi.