Malaysia Dateline

Parlimen Hibrid: PH masih menunggu jawapan dari Azhar

Pakatan Harapan masih menunggu jawapan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bahawa Ahli Parlimen Pembangkang adalah sebahagian daripada cabang perundangan Perlembagaan Persekutuan sama seperti Ahli Parlimen Kerajaan.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, tindakan mengenepikan wakil Pembangkang dari Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid mengenai bentuk, prosedur dan format Parlimen hibrid adalah satu duluan berbahaya yang bukan sahaja melanggar konvensyen Parlimen tetapi juga penyalahgunaan kuasa yang mengikis prinsip asas Parlimen sebagai sumber punca demokrasi.

“Saya telah menulis surat kepada Azhar pada 9 Jun bahawa Ahli Parlimen Pembangkang memainkan peranan penting dalam memastikan Parlimen yang berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan melalui pemeriksaan perundangan dan pengawasan kerajaan,” kata beliau.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming adalah wakil Pakatan Harapan bagi Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid.

“Adakah aksi diam diri dan “buat tak tahu” terhadap cadangan PN mengenai Parlimen hibrid adalah sebahagian daripada taktik politik PN untuk menangguhkan persidangan Parlimen dari bersidang secepat mungkin?”soal beliau.

Katanya, sejak Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan mengutarakan idea untuk membenarkan Parlimen bersidang secara separuh fizikal dan separuh maya, DAP telah memberi amaran bahawa pembentukan Parlimen hibrid tidak boleh digunakan untuk membentuk satu Parlimen ‘rubber stamp’ dengan mengecualikan penyertaan Ahli Parlimen Pembangkang dari Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid.

Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim telah mendedahkan bahawa anggota jawatankuasa tersebut termasuk Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan ketua pentadbir Parlimen.

Ketua Pembangkang atau wakilnya tidak dilibatkan. Tidak ada juga penglibatan oleh Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen, yang ditubuhkan di bawah Peraturan Mesyuarat 78 Dewan Rakyat, bagi menentukan perubahan pada Peraturan Mesyuarat Parlimen.