Malaysia Dateline

Parlimen: Ingin bebas daripada keluarga punca utama remaja, kanak-kanak hilang

Mencari kebebasan diri dari belenggu keluarga antara lima punca utama kehilangan kanak-kanak dan remaja di negara ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) perkara tersebut merupakan punca utama kehilangan kanak-kanak dan remaja sehingga mencatatkan rekod sebanyak 7,159 kes untuk 2011 sehingga Mei tahun ini.

“Punca lain adalah terpengaruh dengan ajakan rakan iaitu 3,167 kes, dipengaruhi kekasih untuk lari dari rumah, pertelingkahan keluarga atau kurang perhatian keluarga (1,523) kes dan tidak minat belajar atau mencari kerja sebanyak (577) kes,” katanya.

Kes kehilangan lebih 800 kanak-kanak dan remaja sejak sembilan tahun lepas merupakan antara isu yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan  P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) sejurus Dewan Rakyat mula bersidang pada 10 pagi ini.

Beliau meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan usaha jangka pendek dan panjang yang dilakukan kerajaan dalam menangani kes 831 kanak-kanak dan remaja yang hilang dalam tempoh sembilan tahun ini.- BERNAMA.