Parlimen: KBS sedia pelan kecemasan atasi masalah di Sukan SEA Filipina

Parlimen: KBS sedia pelan kecemasan atasi masalah di Sukan SEA Filipina

Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) sudah bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang kemungkinan melibatkan kontinjen negara pada Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di Filipina.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kementerian sentiasa mengutamakan kebajikan atlet berikutan beberapa masalah yang timbul di temasya berkenaan termasuk dari segi makanan halal, pengangkutan dan lokasi temasya.

“Sebagai contoh mengenai pemakanan khususnya masalah makanan halal yang kurang di sana (Filipina) kontinjen kita ‘diselamatkan’ dengan bantuan pek makanan Brahim’s. Kita sudah bawa 500 ke 100,000 bungkusan makanan Brahim khususnya jika masalah makanan halal ini berterusan.

“Pagi ini saya dapat maklum balas dari pihak kontinjen bahawa masalah makanan halal ini sedang diselesaikan dan keadaan dilaporkan jauh lebih baik berbanding tiga hari lepas.

“Masalah berkaitan pengangkutan juga sedang diselesaikan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah dihadapi kontinjen negara termasuk soal kekurangan makanan halal.

Syed Saddiq berkata wakil pasukan Malaysia juga telah menyalurkan pandangan berkenaan masalah yang dihadapi atlet negara kepada pihak penganjur temasya sukan tersebut menerusi saluran rasmi.

“Di sini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak Majlis Sukan Negara kerana tindakan pantas menukar Jalur Gemilang sebelum bermula majlis penyampaian pingat emas melibatkan atlet wushu negara, Loh Choon How. Ini membuktikan pemimpin negara kita sangat proaktif dan segera menyelesaikan isu sebelum ia menjadi masalah besar,” katanya.

Dilaporkan, majlis penyampaian pingat sebelum itu tertangguh hampir 20 minit, selepas kontinjen negara bersama Chef-de-mission (CDM) Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyedari bendera yang dibawa keluar penganjur tersalah cetak dan mengarahkan penukaran dibuat.

Syed Saddiq turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kontinjen negara setakat ini berjaya meraih 11 pingat emas.

Sukan SEA ke-30 di Filipina menyaksikan penyertaan lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste dalam 56 jenis sukan pada temasya itu yang akan berakhir pada 11 Dis ini.– BERNAMA