Malaysia Dateline

Parlimen ketika pandemik…

Penulis tertarik dengan kenyataan Puan Laura Majos, Speaker bagi Cámara de Diputados atau Dewan Perwakilan Negara Mexico yang menyatakan dengan tegas kepentingan Dewan Perwakilan harus bersidang bagi membahas dan meluluskan rang undang-undang, membahaskan kedudukan ekonomi dalam situasi kecemasan dan memastikan kebertanggungjawaban kerajaan melalui proses semak dan imbang.

Bagi memastikan sistem demokrasi berjalan lancar dalam keadaan pandemik, selaku Speaker Dewan beliau memasti dua badan utama mewakili Dewan Perwakilan turut berfungsi, iaitu Jawatankuasa Eksekutif dan Lembaga Whip (Whip Board) terus menjalankan tanggungjawabnya. Beliau menekankan parlimen harus berfungsi dengan norma baharu dan tidak menjadikan alasan pandemik untuk membiarkan kerajaan memerintah tanpa semak dan imbang, sentiasa mewakili rakyat (representing citizen) dan menyelia cabang eksekutif dalam pentadbiran.

Parlimen United Kingdom (UK) pula telah bersidang terakhirnya pada bulan Mei yang lalu dengan dirasmikan Queen Elizabeth II dengan pakej sebanyak 30 bilion pound telah dibentangkan. Parlimen United Kingdom terdiri dari 650 ahli parlimen selain ahli-ahli House of Lord dan kakitangan seramai 3000 termasuk kakitangan bagi ahli Parlimen ( Parlimen Malaysia mempunyai 1000 kakitangan menurut kenyataan oleh YB Menteri Undang-Undang & Hal Ehwal Parlimen).

Parlimen bukan sahaja membincangkan pakej rangsangan ekonomi pasca COVID-19 termasuk berbahas mengenai strategi kerjasama kerajaan dengan keseluruhan anggota dewan untuk keluar dari pendemik. Bukan setakat itu sahaja, parlimen UK masih berbincang mengenai tuntutan kemerdekaan Scotland, ketegangan di Ireland Utara yang berlarutan dan isu berkaitan keanggotaan dalam Kesatuan Eropah. Walaupun perbahasan kadang-kala tegang tetapi tidak pun berlaku sebarang huru-hara dalam parlimen, SOP disediakan, dipatuhi dan dihormati oleh anggota dewan, dan akhirnya keputusan dirumus dan digulung!

Parlimen berjalan dengan lancar dengan perbahasan mengenai pelaburan baharu kerajaan dalam rangkaian pengangkutan (transport network) di antara Scotland, Wales, Ireland Utara dan England.

Maknanya Parlimen berfungsi seperti biasa dengan SOP yang ketat untuk proses semak imbang dengan keanggotaan jika hadir penuh 650 orang dengan kakitangan seramai 3000 orang! Jadi apakah lagi alasan untuk tidak mematuhi dekri YDPA dan Raja-Raja Pemerintah untuk parlimen segera bersidang!

Bagi Parlimen Kanada, sidang berjalan dengan norma baharu, penggunaan sidang video (video conferencing) ditingkatkan termasuk sidang palimen maya (vitual parliament) sejak tahun lalu. Jawatankuasa-jawatankuasa Tetap seperti Jawatankuasa Tetap Operasi dan Bajet Kerajaan; Sumber Manusia, Kemahiran dan Pembangunan Sosial dan Status Orang Kurang Upaya; dan mengenai Prosedur Industri, Sains dan Teknologi dan Hal Ehwal Dewan berjalan mengikut keperluan perlembagaan.

Parlimen dan Jawatankuasa Tetap telah berbahas, berdebat membincangkan banyak rang undang-undang termasuk mengenai impak ekonomi semasa kerana sekatan pergerakan, kesan pandemik yang tidak seimbang pada wanita yang membentuk sebahagian besar pekerja di sektor kesihatan dan pekerja penjagaan diri, dan peningkatan tekanan kehidupan akibat pendedahan kepada COVID-19 dan memastikan perwakilan gender yang seimbang di parlimen maya.

Maknanya proses demokrasi, semak dan imbang berjalan seperti biasa dengan mematuhi norma baharu. Kerajaan Kanada tidak bergerak membuat polisi sepihak (one sided policy) tetapi menggunakan badan tertinggi negara untuk menghasilkan polisi dan pelan yang melibat semua pihak terutamanya wakil-wakil yang telah di pilih oleh rakyat.

Penulis mengambil satu contoh lagi; Parlimen Republik Demokratik Congo. Presiden telah mengeluarkan dekri mengizinkan sesi plenari parlimen berjalan dengan jumlah anggota Parlimen yang kecil hadir untuk bersidang. Disebabkan pandemik yang berlarutan di Congo maka speaker memutuskan satu-satu jumlah peratusan tertentu mengikut rundingan kerajaan dan pembangkang daripada 500 anggota parlimen mewakili dewan rendah (lower house) dan 109 dari pihak dewan tertinggi (upper house) yang hadir secara bersemuka.

Ahli Parlimen yang tidak hadir boleh menghantar suara mereka melalui telefon, mesej atau WhatsApp. Inilah yang berlaku di Republik Conggo, sedangkan Malaysia jauh lebih maju dan kehadapan dari perlbagai sudut pentadbiran, teknologi dan kemudahan ICT! Apakah yang menghalangannya? Apakah kegusarannya dan apakah ketakutannya untuk bersidang, berbahas, berdebat dan membentangkan situasi, pelan dan gerak kerja untuk bergerak kehadapan!

Penulis sekadar merujuk kepada apa yang telah dan sedang berlaku dalam parlimen negara seperti Mexico, United Kingdom, Kanada dan akhirnya Republik Demokratik Congo untuk menjadi panduan supaya kerajaan dan terutamanya YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen) membuat kerja-rumah, berfakta, berfikir untuk kepentingan rakyat bukan hanya “keseronokan’ berada ditampuk kekuasaan, bukan mencari helah tetapi mencari solusi dan akhirnya Raja Pemerintah adalah tempat rakyat berpayung, maka urusan kita adalah untuk TAAT.

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan dan pandangan ini hasil penelitian penulis dan bukan menggambarkan pendirian akademi.