Parlimen Kimanis: SPR akur keputusan mahkamah

Parlimen Kimanis: SPR akur keputusan mahkamah
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) akur dengan keputusan mahkamah Persekutuan berkenaan pembatalan keputusan Pilihan Raya Parlimen P.176 Kimanis, Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata, keputusan Mahkamah tersebut sekaligus mengisytiharkan bahawa kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen P.176 Kimanis, Sabah adalah tidak sah dan terbatal.
“Sehubungan dengan itu, SPR perlu menunggu Perakuan daripada Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut.
“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.
“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU14 tahun lalu tidak sah dan terbatal.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, tiada kekhilafan dalam penemuan fakta kes itu oleh hakim pilihan raya.
“Ada beberapa percanggahan dalam tindakan dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya secara meluas,” katanya dalam keputusan sebulat suara.
Pada 18 Jun 2018, calon Warisan di kerusi Parlimen Kimanis, Karim Bujang memfailkan petisyen dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden kedua.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu menolak petisyen itu dan Karim kemudian membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan petisyen itu dibicarakan semula.
Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu Lee Heng Cheong mengisytiharkan kemenangan Anifah, bekas menteri luar, sebagai tidak sah dan terbatal.
Pada PRU ke-14, Anifah menang di kerusi parlimen itu dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 11,942 undi, mengalahkan Karim Bujang (Warisan dan Jaafar Ismail (Harapan Rakyat) yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.