Malaysia Dateline

Parlimen Kimanis: SPR tidak buat rayuan atas keputusan Mahkamah Pilihan Raya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menerima keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang telah mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Kimanis sebagai terbatal dan tidak sah.

Pengerusi Azhar Azizan Harun berkata, SPR telah menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu Sabah pada 23 Ogos lepas.

SPR katanya mengambil maklum dan akur kepada keputusan tersebut tanpa rayuan dibuat.

“Oleh itu SPR tidak akan membuat rayuan terhadapnya.

“Walau bagaimanapun, jika rayuan dibuat Datuk Seri Hanifah Aman, penyandang kerusi bagi Parlimen berkenaan dan dinamakan sebagai Responden, SPR akan menghadiri prosiding tersebut dan mengambil bahagian di dalamnya setakat yang perlu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh untuk merayu tamat, iaitu pada 29 Ogos 2019 ini, bagi tindakan selanjutnya.

“SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan Pilihan Raya Kecil sekiranya ia perlu diadakan,” ujarnya lagi.

Pada 16 Ogos lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Lee Heng Cheong berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau berkata, penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah satu kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu, justeru kemenangan tersebut terbatal.

Petisyen itu difailkan Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membayar kos kepada Karim sebanyak RM100,000.

Karim memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lepas dan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua.-