Malaysia Dateline

Parlimen Kubang Pasu, Langkawi, Putrajaya antara pilihan Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen sama ada di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Beliau menolak cadangan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bersedia menyerahkan kerusi disandangnya di Parlimen Gombak selama dua penggal kepada Pengerusi PH itu.

“Terima kasih Azmin atas pelawaannya untuk saya bertanding di Gombak Tetapi saya membuat keputusan akan bertanding salah satu daripada  tiga kerusi itu ,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Bersatu Bahagian Setiawangsa malam tadi.

Bagaimanapun beliau menyatakan belum lagi membuat sebarang keputusan kerusi mana yang akan ditandingi kelak.

Ketika berucap, Dr Mahathir yang juga perdana menteri Malaysia selama 22 tahun, berkata perjuangan Bersatu ialah untuk 30 juta rakyat Malaysia.

“Setiap rakyat berhak memilih pemimpin mereka melalui cara demokrasi. Sekiranya Pakatan Harapan tidak bersatu hati, kita tidak akan mampu bersaing dalam PRU14 akan datang,” katanya.

Pakatan Harapan turut mengulangi pendirian gabungan empat parti itu di dalam manifestonya untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal selain mengasingkan jawatan Menteri Kewangan daripada portfolio Perdana Menteri.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, cadangan itu merupakan antara manifesto pakatan pembangkang sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14.

Pakatan Harapan akan turut mencadangkan pelantikan Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara mesti melalui parlimen dahulu dan bukannya lantikan atas nasihat perdana menteri, katanya yang turut hadir di majlis sama.