Parlimen masih lagi ‘rubber stamp’, Speaker hanya bertindak sebagai ‘pengadil’

Parlimen masih lagi ‘rubber stamp’, Speaker hanya bertindak sebagai ‘pengadil’

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, hasratnya adalah untuk meningkatkan taraf Parlimen sebagai satu institusi yang berwibawa dan memenuhi fungsi Perlembagaan negara bukan lagi dilihat sebagai ‘rubber stamp’ yang mana badan legislatif ini terpaksa mengikut kemahuan parti pemerintah.

Beliau yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang ke-9  Parlimen Malaysia juga mempunyai wawasan untuk memastikan institusi Parlimen ini dapat dimartabatkan dan dihormati 222 anggota dewan rakyat dan 30 juta rakyat negara ini.

Apatah lagi suasana dalam dewan rakyat penggal pertama ini yang masih lagi dicemari dengan gelagat beberapa wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang melanggar peraturan mesyuarat dewan.

Masih berlaku tindakan keluar dewan dikenakan kepada ahli parlimen oleh Speaker Dewan membuktikan sikap, tindakan ahli dewan ketika berbahas masih ditakuk lama dalam sebuah kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan.

“Kita mengikut peraturan mesyuarat ketika perbahasan. Jika terdapat mana-mana wakil rakyat menyebut perkara yang tidak sepatutnya ketika perbahasan.

“Walaupun arahan untuk ‘keluar dewan’ itu bukan selalu timbul hanya dalam keadaan drastik. Kita akan beri nasihat untuk mereka tarik balik perkataan yang digunakan. Jika mereka tidak berbuat seperti arahan Speaker kita akan gunakan apa yang terkandung dalam peraturan mesyuarat.

“Istilah-istilah yang digunakan oleh Yang Berhormat wakil rakyat kadangkala digunakan kurang wajar untuk menyampaikan maksud mereka terhadap sesuatu hujah.

“Tapi saya memahaminya kemungkinan tersalah sebut atau jika ditarik balik tiada timbul masalah, tidak perlu diarah untuk keluar dewan,” ujarnya dalam temubual dengan Malaysia Dateline baru-baru ini.

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika ditemubual Pengarang Berita Malaysia Dateline di pejabatnya di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Ikuti temubual penuh di bawah:

Malaysia Dateline(MD): Adakah perkara ini boleh dielakkan?

Datuk Mohamad Ariff: Semua ini ada dihuraikan dalam peraturan mesyuarat, Ahli Parlimen sedia maklum. Kadang kala mereka terlepas cakap. Dalam proses berdebat atau pecakapan biasa kita pun ada salah penggunaan  istilah dan sebagainya.

Jika bercakap dalam dewan tidak boleh guna perkataan lucah, kurang sopan, perkataan seksis dan sebagainya. Parlimen di mana  saja bersidang, perkara begini akan timbul dan peraturan mesyuarat akan dikawal oleh Speaker untuk tindakan jika berlaku perlanggaran.

MD: Kadangkala tugas Speaker juga jadi kritikan sekiranya tidak sependapat dengan wakil rakyat.

Dalam sistem kita, tidak dapat elak kritikan terutama sekali dikalangan ahli Yang Berhormat dan mereka yang berada di luar dewan.

Kita dapati media hari ini  bebas dan berani melaporkan situasi dalam dewan. Semua orang mempunyai hak bersuara menyatakan pendapat. Sistem tidak akan jadi lebih tercalar kerana adanya unsur-unsur luar ini.

Sistem sebuah Parlimen terikat dengan peraturan dan adat, ia tidak ditulis secara nyata tetapi akan mengikat tindak tanduk seorang Speaker.

Speaker tidak boleh berpihak kepada mana-mana parti walapun menjadi seorang ahli parti tertentu. Kedudukannya adalah menjadi Speaker bagi semua 222 ahli Yang Berhormat tidak kira sama ada kepada wakil rakyat kerajaan, pembangkang atau bebas di dalam dewan.

MD: Adakah Datuk fikir dapat mengubah suasana dalam dewan rakyat dalam tempoh lima tahun ini?

Masih awal untuk dijangka dalam suasana penggal pertama sidang dewan kali ini. Tetapi tugas seorang Ahli Parlimen untuk suarakan pendapat rakyat dengan tegas.

Jika dia perlu bertegas dengan nada yang tinggi memang tugasnya, terpulang pada personaliti seseorang.

Saya menerima latihan sebagai hakim ,karenah manusia itu saya tahu sedikit sebanyak. Ada peguam yang keras (hujah), ada peguam yang lemah lembut dan ada peguam yang suka berkelahi. Begitu jugalah situasinya dalam dewan menghakimi wakil rakyat.

Saya melihat suatu yang positif dalam dewan rakyat. Kita perlu melihat bukan dari segi struktur luaran sahaja (anggota parti) kita nak ubah perkara lain untuk tingkatkan taraf institusi Parlimen sebagai institusi kerajaan yang berwibawa dan memenuhi fungsi perlembagaan dengan memartabatkan kedudukan  Parlimen.

MD: Perlukah institusi Parlimen negara ini berubah?

Parlimen kita tidak cukup mantap dari segi kedudukan institusi itu sendiri dalam sebuah negara demokrasi.Tanya orang di luar Parlimen,  mereka kata ‘rubber stamp’  dan tempat bergaduh.

Institusi itu ada, tapi belum padu. Selama 60 tahun ini kadangkala kita lupa kewujudan institusi Parlimen menduduki tempat yang amat tertinggi dalam sistem demokrasi negara- rakyat mesti faham hal ini.

Institusi Parlimen sangat penting. Tempat dimana undang-undang diluluskan, debat perbahasan dilakukan terhadap isu negara dan awam, tempat di mana kewangan dikawal dan diluluskan dan tempat di mana rintihan rakyat dapat didengar melalui wakil rakyat mereka. Di Parlimen tempat wakil rakyat dapat berbakti kepada negara dan kawasan mereka.

MD: Jadi dimana nak bermula?

Ada perkara yang boleh dilakukan dari dalam tetapi untuk dapatkan reform yang lebih besar dan inklusif ada juga perkara lain mesti di mantapkan.

Jika kita boleh bermula dengan institusi Parlimen terlebih dahulu, saya pasti institusi lain dalam sistem negara demokrasi dan berperlembagaan ini juga akan turut mengalami reformasi ke arah lebih baik.

Segalanya mesti bermula di dalam Parlimen sebagai lambang demokrasi. Jika tiada Parlimen tidak wujud badan Eksekutif dan badan kehakiman untuk mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.

Jika Parlimen itu mantap kemungkinan besar perkara yang di bawa ke Parlimen dan badan kehakiman untuk mencabar undang-undang yang tidak ‘constitutional’ akan dapat dikurangkan kerana kawalannya berada di Parlimen.

MD: Sebagai seorang bekas hakim, adakah sukar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Speaker?

Speaker macam pengadil bolasepak, Speaker menegakkan keadilan diantara pihak yang berbahas. Speaker tiada kuasa tentukan merit perbahasan.

Malahan tugas Speaker tidak seberat tugas Hakim. Tugas Hakim bukan sahaja perlu mendengar hujah Peguam secara adil dan saksama tetapi terpaksa memutuskan sesuatu perkara yang dibawa di hadapan Hakim dari segi meritnya dan perlu memikirkan sesuatu perkara itu lebih mendalam. Sudah pasti suasananya berlainan dengan menjadi seorang Speaker.

Saya seorang yang sangat penyabar. Jika Speaker tidak dapat mengawal perasaan, tidak bertindak neutral dan gagal mengikut adab dan suasana Parlimen ia memberi pandangan yang kurang baik dan bijak dikalangan ahli dewan terhadap fungsi seorang Speaker di dalam dewan.

Kita kena bermula dengan institusi Parlimen. Ahli dewan perlu berdebat berasaskan fakta, Speaker perlu jalankan tugas dalam suasana ini tanpa berpihak dengan mana-mana ahli dewan.

MD: Datuk perlu melepaskan jawatan Ketua Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti AMANAH Nasional untuk terima jawatan Speaker. Apakah faktor penolaknya?

Bukan pertama kali saya ditawarkan untuk beri khidmat di sektor awam. Apabila diberi kesempatan ini saya memikirkan perlu menyumbang kepada negara dengan kepakaran dan pengalaman yang saya miliki.

Dulu saya diminta memberi khidmat kepada Suruhanjaya Sekuriti saya tinggalkan amalan guaman.Selepas tiga tahun kembali jadi peguam, kemudian apabila tawaran dibuat untuk menjadi hakim di Mahkamah Rayuan saya anggap satu lagi khidmat untuk negara. Jadi kesempatan yang saya peroleh ini (Speaker Dewan Rakyat), semata-mata untuk berkhidmat kepada negara.

Ahli AMANAH baik-baik belaka tiada masalah disiplin jadi di sana tiada peluang saya nak menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan oleh parti.

Baca: Tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS