Malaysia Dateline

‘Parlimen maya rakyat’: Ruang siber jadi medan rakyat berbicara

Ketiadaan Parlimen atau Dewan Rakyat mengakibatkan tiada perdebatan mengenai isu-isu rakyat, ini melumpuhkan perjalanan sistem demokrasi di negara kita.

Pengisytiharan darurat yang bertujuan memberi tumpuan kepada pembendungan penularan virus Covid-19 masih tidak berjaya.

Namun dengan ketiadaan Dewan Rakyat, kita masih ada Parlimen rakyat. Ia adalah parlimen maya rakyat yang dapat dlihat kehadirannya di dunia siber.

Keberadaan e-demokrasi dalam kalangan rakyat semakin menyengat. Kita dapat perhatikan betapa terdapat rakyat yang semakin kritis mengkritik tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu semasa.

Sikap kritis kerajaan menyebabkan berlakunya pertarungan idea, gagasan dan ideologi yang bersifat abstrak namun dapat diperjelaskan dalam ruang-ruang awam digital dalam kalangan sang politikus tertentu.

Ada kalanya Parlimen maya rakyat bersifat anarkis, kucar kacir dan seolah-olah tidak terkawal tetapi ia tetap menjadi suara rakyat di kala darurat.

Apa yang dinamakan majoriti yang diam dalam kalangan rakyat telah bersuara, isu suntikan vaksin yang sebelum ini dikendalikan dengan menggunakan kaedah siapa cepat dia dapat telah dihentikan selepas bantahan rakyat melalui media sosial.

Penyebaran petisyen berhubung dengan tanda pagar #kerajaan gagal dan petisyen supaya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan sebagai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menandakan itu adalah parlimen maya rakyat menggantikan sidang dewan rakyat yang digantung.

Parlimen maya rakyat memungkinkan adanya debat rasional di mana forum maya dan webinar diadakan berhubung dengan isu-isu semasa.

Rakyat telah menggunakan medan ini sebagai proses perdebatan akal sihat walapun tidak dinafikan ada yang diselitkan dengan emosi, egoisme, sentimen parti, keagamaan dan kedaerahan.

Parlimen maya rakyat telah mencetuskan oposisi pasca tradisi, Parlimen yang tidak diwakili oleh Ahli Parlimen hasil undian rakyat tetapi Parlimen yang anggotanya adalah rakyat Malaysia.

Kalau sebelum ini sebahagian rakyat masih tidak menganggap isu politik penting kepada mereka, tetapi sejak Parlimen dikembiri, parlimen maya rakyat telah mengambil alih dan rakyat dengan mata kritis memerhatikan gerak geri ahli politik sama ada mematuhi SOP atau tidak seperti isu Menteri Besar Kedah.

Rakyat dalam parlimen maya ini belajar untuk menganalisis maklumat dengan lebih teliti malah mereka menyoal apa yang kerajaan PN lakukan dalam menangani penularan Covid-19.

Kerajaan PN tidak boleh membisu dengan rungutan rakyat tentang kehilangan pekerjaan dan masalah ekonomi yang semakin meruncing terhadap kehidupan golongan bawahan atau berpendapatan rendah.

Dalam era demokrasi digital di mana telefon bimbit adalah senjatanya, segala maklumat yang dibaca dan diterima akan dikongsi bertanyakan kesahihannya dan apakah tindakan kerajaan itu betul atau tidak.

Tidak dinafikan terdapat kumpulan rakyat yang menyokong PN yang akan memainkan peranan propaganda, manipulasi, dan berita palsu (tidak dinafikan kepada mereka yang menyokong PH, kerja-kerja ini ada juga dilakukan), tetapi parlimen maya rakyat hidup segar dalam dunia siber.

Dengan kewujudan parlimen maya rakyat, terdapat kecenderungan rakyat untuk menjadi penghasil maklumat di samping pengguna maklumat.

Mereka memberikan pandangan, menghasilkan troll, sindiran, parodi, memuatnaik sesuatu fakta, menghasilkan video dan membuat ulasan semasa.

Ini adalah sesuatu yang sedang berlaku dalam parlimen maya rakyat.

Maka lahirlah dalam ruang siber medan untuk rakyat berbicara dalam sebuah demokrasi maya di mana hadirnya parlimen maya rakyat memecahkan tembok oposisi tradisi melalui sidang di dewan rakyat.

Warga siber akan terus ingat bahawa di kala Parlimen digantung, parlimen maya rakyat akan terus segar hidup di alam virtual.

—————–
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)