Malaysia Dateline

Parlimen medan dengar suara rakyat bukan kuliah menteri

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan sidang khas Parlimen bermula 26 Julai selama lima hari bagi Dewan Rakyat dan bermula 3 Ogos selama tiga hari bagi Dewan Negara adalah terlalu pendek.

Tegas PH, tempoh itu tidak mencukupi untuk benar-benar membahaskan perkara-perkara yang telah dititikberatkan Yang di-Pertuan Agong iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Malah, kami amat kesal kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan PPN Covid-19 tanpa sebarang perbahasan, dan Proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan.

“Ini langsung tidak menepati titah pandangan Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan bersama PKR, AMANAH dan DAP, hari ini.

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memberitahu persidangan Parlimen kali ini bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan PPN dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Sehubungan itu, pimpinan tertinggi PH menyifatkan persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagaikan melepaskan batok di tangga jika kerajaan PN masih ingkar titah pandangan Seri Paduka Baginda.

Menurut kenyataan itu, Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat disamping mencari penyelesaian kepada krisis negara.

“Prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua Ahli Parlimen, dan Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah Menteri tanpa diberi ruang membahas,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, majlis itu menegaskan kerajaan PN perlu menjemput pihak pembangkang untuk bersama-sama merangka serta mengatur perjalanan sidang khas Parlimen kali ini.

Hal tersebut, kata kenyataan itu, penting bagi mengusahakan penyelesaian agar rakyat Malaysia dapat keluar dari krisis Covid-19 dan ekonomi ini.

“Janganlah sehingga pihak pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil.

“Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” tambah kenyataan bersama itu lagi.