Malaysia Dateline

Parlimen pentas lawak jenaka?

Bukan tidak biasa dengan situasi di Parlimen tetapi apabila menonton keletah Ahli-Ahli Parlimen yang menyindir Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari pertama sesi parlimen, terasa Dewan Rakyat bagaikan medan “sarkas”, macam menonton rancangan Maharaja Lawak.

Bukanlah tujuan untuk menghina parlimen atau mempersendakan ahli parlimen tersebut kerana mereka juga adalah sang politikus yang berpengalaman, mungkin mereka telah lebih 20 tahun bersama Dr Mahathir, telah faham dengan tabiat bekas Perdana Menteri itu.

Seeolah-olah menampakkan tiada keseriusan dalam sidang parlimen yang membicarakan isu-isu penting negara dan parlimen. Dr Mahathr sedang menghujahkan isu perlantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Untuk tidak merujuk kepada aksi-aksi mereka dalam menyindir Dr Mahathir, secara keseluruhan, kita tentu tidak ingin Parimen menjadi medan lawak jenaka pula.

Adakah lakonan-lakonan yang berlaku di Parlimen memanifestasikan kedangkalan ilmu sang politikus sekarang? Sang politikus dengan pelbagai keletah dan ragam sindiran diselit lawak jenaka tentulah tidak mahu dianggap sebagai ahli Parlimen badut yang melakukan persembahan jenaka mereka di Parlimen.

Adakalanya kelakar yang dilakukan seronok untuk dilihat, tetapi kebanyakannya boleh menjadikan rakyat meluat dan tidak tahan dengan kecetekan ilmu dan sikap yang ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat.

Ahli politik yang menang dalam pilihan raya di atas mandat rakyat walaupun dengan kelayakan pendidikan yang minimum, dan ada juga dengan prestasi peribadi yang tidak mengambarkan teladan seorang pemimpin rakyat.

Oleh itu sampai bila rakyat Malaysia harus menghadapi ahli politik yang sebegini? Adakah selamanya rakyat Malaysia yang semakin berpendidikan harus diwakili oleh ahli politik yang tidak kompeten dan berkualiti?

Diharapkan tidaklah ada pula mereka berlumba menjadi badut politik. Dalam politik, semua orang harus serius dan pintar. Jika tidak, gelanggang politik akan menjadi panggung komedi dan para “negarawan” akan menjadi badut-badut politik yang berpengaruh besar terhadap adab politik itu sendiri. Dalam hubungan ini bagaimanakah perspepsi penonton dalam panggung politik?

Dalam perbandingannya dengan program jenaka di stesen televisyen misalnya, penonton mungkin merasa terhibur dengan kelakar sang pelawak. Namun penonton memang memahami ini adalah pentas lawak.

Bagi program seperti ini, program jenaka ia adalah faktor mutlak, kerana lakonan pelawak dianggap berjaya jika adegan dan kata-katanya membuat penonton ketawa berdekah-dekah.

Tetapi apakah matlamat sang politikus di Parlimen yang melakonkan watak-watak kelakar dan jenaka di Dewan Rakyat.

Politik di Malaysia memerlukan ahli politik profesional yang dapat mengseimbang dan memainkan peranan check-and-balance dalam sebarang dasar kerajaan.

Peranan ini amat penting bagi mengelakkan dasar yang dirancang tidak mememnuhi kepentingan peribadi atau pun kepentingan parti dengan politik sempit.

Dalam, hubungan ini politik Malaysia perlu diberi nafas baru. Stereotaip bahawa ahli politik adalah mereka yang mahir menipu atau memanipulasi wang rakyat yang telah beberapa kali didakwa oleh kes mahkamah melibatkan pimpinan utama negara perlu diberikan perhatian oleh rakyat. Jangan termakan dengan dedak dan wang sagu hati.

Jika manifesto sebelum pilihan raya menjadi kayu ukur minimum untuk menguji keikhlasan dan ketulusan Kerajaan, rakyat Malaysia sudah pasti boleh mengetahui sejauh mana tahap kejujuran mereka dalam politik negara.

Dalam hubungan ini profesionalisme yang merangkumi kepakaran, ketrampilan dan daya fikir dan kreativiti intelektual serta ‘problem-solver’ baik dari segi pemikiran dan percakapan dalam kalangan ahli kabinet negara perlu didasari dengan sikap kejujuran dan akhlak politik yang beradab.

Ia memandangkan rakyat Malaysia adalah pemegang taruh terbesar politik negara yang perlu meneliti calon pilihan raya dan mengundi dengan lebih professional dan matang.

 

*Kolumnis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL).