Malaysia Dateline

Parlimen Perkasa P.Pinang desak Waythamoorthy dikenakan tindakan serius

Persidangan Khas Parlimen-Parlimen Perkasa Pulau Pinang yang telah diadakan kelmarin telah meluluskan usul mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.Waythamoorthy, dikenakan tindakan serius oleh kerajaan.

Demikian dinyatakan oleh Yang Dipertuanya, Mohamad Nasir Othman.

Menurut beliau lagi usul sebulat suara tersebut turut mendesak supaya Waythamoorthy dipecat dan diambil tindakan segera kerana didakwa memfitnah dan menghasut kononnya masyarakat India dalam negara ini ditindas dan kuil-kuil diroboh.

Malah katanya, tindakan Menteri tersebut mendorong kearah mengapi-apikan isu perkauman yang boleh mencetuskan rusuhan antara kaum.

“Pihak berkuasa harus memandang serius perkara ini dan tidak dilihat ia sebagai suatu perkara enteng semata-mata.

“Tindakan serius dan tegas mesti diambil demi menjaga keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum dalam negara ini.

“Golongan warganegara minoriti dilihat seolah-olah semakin melampau untuk mencetuskan huru-hara dan perkauman yang menzahirkan secara jelas kebencian kepada kaum Melayu dan juga agama Islam, ” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab maka perkara ini mesti diberi perhatian yang amat serius demi kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum.

Baru-baru ini klip video yang tular menuduh beliau cuba merosakkan nama negara setelah klip video tersebut menunjukkan Waythamoorthy mendakwa wujudnya diskriminasi terhadap golongan minoriti, khususnya masyarakat keturunan India.

Namun begitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semalam dilaporkan menyatakan bahawa klip video tersebut adalah rakaman 10 tahun yang lalu.

Tegasnya lagi, pandangan tersebut tidak mewakili pandangan kerajaan baru, sebaliknya Waythamoorthy kini bertanggungjawab memperjuangkan polisi yang sedang dibawa oleh kerajaan.

Maka itu tambah Mujahid, apa saja pendirian yang telah dibuat seseorang itu sebelum atau selepas ini kerajaan tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya kata Mujahid lagi, kerajaan tetap mempertahankan kedudukan agama Islam serta kebebasan agama tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak Bumiputera.