Malaysia Dateline

Parlimen perlu bersidang 2 Ogos ini jika tidak mahu berlaku krisis Perlembagaan

Bagi mengelakkan dari berlakunya krisis Perlembagaan, Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos 2021 iaitu selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan hari ini berhadapan dengan pelanggaran Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Parlimen untuk dipanggil dari semasa ke semasa dan tidak boleh dibiarkan berlalu selama enam bulan tanpa persidangan.

“(Perlembagaan menyebut) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

“Hari ini merupakan hari ke-183 atau enam bulan satu hari sejak berakhirnya sidang Parlimen terakhir, iaitu pada 17 Disember 2020. Ini bermaksud, kita hari ini berhadapan dengan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, untuk mengatasi isu pelanggaran itu, kerajaan telah menggunapakai Perkara 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, iaitu:

“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubung dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan;”

Bagaimanapun kata Fahmi, sekiranya darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, ini bermaksud Perkara 14(1)(a) tidak lagi terpakai kerana darurat sudah tidak berkuatkuasa.

“Maka Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan akan terpakai semula pada ketika itu. Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos, bukan September ataupun Oktober seperti yang diulang-ulang Tan Sri Mahiaddin dan Datuk Seri Takiyuddin.

“Saya gesa Tan Sri Mahiaddin dan Datuk Seri Takiyuddin untuk segera mendapatkan nasihat Peguam Negara dan menjelaskan kepada umum tentang perkara ini, untuk mengelak dari mengelirukan orang ramai termasuk juga Ahli-ahli Parlimen,” katanya lagi.