Malaysia Dateline

Mohd Parid, presiden Ikram.

Parlimen perlu bersidang segera, akur titah Agong, kata Ikram

Pertubuhan Ikram Malaysia menyeru agar Parlimen bersidang dengan segera dengan mematuhi perintah Yang Dipertuan Agong.

Langkah ini perlu agar proses semak imbang dapat berlaku dengan baik dan semua ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi dapat terlibat sepenuhnya dalam pembuatan dasar dan keputusan terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat.

Presidennya, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, semua pemimpin sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang perlu mengenepikan segala kepentingan politik, parti mahupun peribadi.

Ikram meminta mereka berusaha untuk berbincang secara objektif demi memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan beban masalah rakyat diselesaikan agar kesejahteraan dan pembangunan negara terus meningkat, katanya.

Ikram menuntut agar usaha menghidupkan ekonomi, keyakinan pelabur dan meningkatkan tata kelola yang baik (good governance) diberi fokus demi kemaslahatan negara. Ini termasuklah memutuskan rantaian rasuah.

Pertubuhan Ikram, katanya, menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, yang menzahirkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

“Ikram menyokong penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk mengembalikan peranan penting Parlimen mengikut Perlembagaan agar usaha dan langkah untuk membendung pandemik Covid-19 dan mengembalikan kesejahteraan negara dapat dirangka secara menyeluruh dan lebih berkesan,” kata Parid dalam kenyataan itu.