Parlimen ‘ribut’ sebelum Hadi bentang RUU 355

Parlimen ‘ribut’ sebelum Hadi bentang RUU 355

 

 Tempoh kira-kira 30 minit sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) membentangkan Rang Undang-undang (RUU) 355 menyaksikan sidang Dewan Rakyat dilanda ‘ribut’ apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, berlaku perdebatan antara Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) berhubung isu penyerahan notis dan saman pemula kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia oleh anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abd Rahman semalam.

Bagaimananapun, beberapa ahli parlimen BN kemudiannya bangkit menjerit termasuk mengeluarkan maki hamun ketika Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) turut berdiri mempersoalkan RUU Hadi.

“Bisinglah. Duduklah. Ini provokasi hanya mahu kelirukan rakyat,” jerit Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) sebelum kemudiannya memekik antaranya berkata, “Makin tua, makin gila.”

Kit Siang antara lain mempersoal sejauh mana pembentangan RUU 355 hari ini turut dipersetujui parti komponen BN lain.

“Ini permintaan kerajaan. Presiden MCA, Gerakan adakah setuju?” soalnya lagi diikuti sorakan bantahan berterusan daripada ahli parlimen kerajaan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya mengingatkan ahli parlimen duduk supaya Abdul Hadi dapat membentangkan RUU 355 yang tertangguh sejak tahun lalu.

“Ahli-ahli Berhormat yang lain, politik itu bawa di luar sana. Jangan buat (gaduh) di sini,” sebelum membenarkan Abdul Hadi meneruskan pembentangan pada pukul 11.38 pagi tadi.

RUU Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dengan meningkatkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

TAGS