Malaysia Dateline

Parlimen sehari: Proses semak imbang sangat penting ketika tempoh PKP

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan persidangan sehari sesi Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei depan, dilihat membuang masa kerana tiada sesi soal jawab dan perbahasan.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya mahukan maklumat-maklumat semasa berkaitan pentadbiran negara daripada pihak kerajaan itu sendiri.

“Buang masa saja (Parlimen sehari). Untuk apa membuang masa sehari hanya untuk memutuskan pelantikan jawatankuasa pemilih dan pembentangan bajet tambahan (pakej rangsangan ekonomi) tanpa sebarang sesi soal jawab dan perbahasan.

“Sedangkan sangat penting untuk proses semak imbang berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Segala perbelanjaan tambahan kerajaan dibahas segera dan sangat penting juga untuk Parlimen membahaskan segera rancangan masa depan negara pasca Covid-19.

“Sepatutnya Mac lepas Parlimen bersidang, tetapi sampai bulan Julai itu jaraknya sudah berapa bulan? Sekarang ini, kita tidak tahu apa-apa maklumat yang ada dalam kerajaan.

“Walau bagaimanapun, saya tetap akan hadir ke sesi Parlimen itu nanti atas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen. Kami semua mahukan maklumat daripada pihak kerajaan,” katanya kepada Malaysia Dateline, semalam.

17 April lalu, media tempatan melaporkan Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat menerusi satu notis memaklumkan bahawa sidang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan dilangsungkan selama satu hari saja.

“Susulan daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), maka persidangan Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan sahaja.

“Sehubungan itu, tiada sesi pertanyaan lisan di bawah peraturan Mesyuarat 22 (2) dan 22 (5), pertanyaan bertulis dan usul. Oleh yang demikian, semua pemberitahuan tersebut tidak perlu dihantar untuk mesyuarat ini,” katanya.