Malaysia Dateline

Parlimen Stampin destinasi kesembilan Program Kampungku Sihat

Dr Dzulkefly menyampaikan bantuan persekolahan awal kepada anak-anak penduduk Kampung Tematu di Kuching.

Parlimen Stampin merupakan destinasi kesembilan Program Kampungku Sihat diadakan selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi pada Februari lalu.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Dzulkefly Ahmad, sebanyak 126 buah kampung telah dilawati sepanjang program tersebut yang mana 5,476 penduduk dewasa telah di saring bagi faktor risiko Penyakit Tidak Berjangkit ataupun Non Communicable Diseases (NCD).

Katanya, sejumlah 4,445 penduduk menjalani ujian saringan diabetes dan 4,155 lagi menjalani ujian saringan hipertensi. 39% kes saringan hipertensi dan 67% kes saringan diabetes dikenal pasti berisiko.

“Kesemua kes berisiko ini telah dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran untuk ujian pengesahan.

Dr Dzulkefly turut meninjau ruang pameran yang diadakan sempena Program Kampungku Sihat.

“Justeru, Program Kampungku Sihat ini telah mendapat perhatian pemimpin negara apabila di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Jun 2019, Perdana Menteri telah menyarankan agar Program Kampungku Sihat ini dipertingkatkan objektif pelaksanaannya iaitu dengan mewujudkan pertandingan di peringkat nasional bagi menggerakkan pembudayaan amalan kesihatan yang baik kepada rakyat Malaysia di akar umbi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Stampin di Kampung Tematu di Kuching hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri ini dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim.

Sehubungan itu,tambah beliau, KKM kini dalam usaha akhir persediaan Pertandingan Program Kampungku Sihat di seluruh negara pada tahun hadapan.

Kata Dr Dzulkefly, secara dasarnya tujuan utama pertandingan tersebut adalah untuk memangkinkan penglibatan komuniti dalam penjagaan kesihatan secara kendiri di samping menggalakkan agensi di luar KKM untuk bersama-sama berganding dalam agenda kesihatan awam ke arah pembentukan komuniti kampung yang sihat.

“Penilaian akan dibuat ke atas pencapaian aktiviti pemerkasaan komuniti dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit di kalangan komuniti di kampung-kampung yang mengambil bahagian,” ujarnya.

Beliau, turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat, serta semua yang bertungkus lumus menjayakan Program Kampungku Sihat kali ini.

Pada majlis itu beliau yang ditemani Chong dan Dr Jamilah turut menyampaikan bantuan persekolahan awal kepada anak-anak penduduk kampung yang kurang berkemampuan.