Malaysia Dateline

Parlimen sudah jadi pusat kuarantin, kata Mahfuz

Parlimen hari ini seolah-olah menjadi pusat kuarantin COVID-19 susulan Speaker Datuk Azhar Azizan Harun
membenarkan tiga Ahli Parlimen yang sedang menjalani kuarantin hadir di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, tindakan Speaker membenarkan Ahli Parlimen yang sedang menjalani kuarantin hadir ke parlimen adalah memalukan.

“Jadi lepas ini siapa-siapa balik daripada luar negara boleh dikuarantin di parlimen.

“Walaupun ada seorang Ahli Parlimen pembangkang, kami tetap membantah,” tegas Mahfuz dalam sidang media di Parlimen.

Katanya, membenarkan Ahli Parlimen dengan memakai pakaian PPE ianya satu tindakan kontradiksi dengan peraturan yang dibuat oleh kerajaan selama ini kerana ia membahayakan keselamatan Ahli Parlimen.

“Kalau petugas-petugas hadapan di hospital dalam keadaan memakai PPE pun mereka boleh terdedah kepada jangkitan COVID-19 ini, apa jaminan di parlimen ini yang di sanitasi bukannya setiap hari, hanya di lap-lap sahaja.

“Kita dengan ahli keluarga yang dipakaikan gelang pink pun tidak dibenarkan untuk bersua berdekatan

“Ini pula walaupun kawan dari satu PH pun kita tetap katakan tidak wajar diberi kebenaran datang Parlimen walaupun dengan mengenakan pakaian PPE,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini belum ada jaminan dengan memakai pakaian PPE boleh mengelak kita daripada jangkitan Covid-19.

“Keputusan yang dibuat oleh KKM dan Speaker sebenarnya mengancam semua ahli parlimen dan kakitangan parlimen,” tegasnya.

Terdahulu, Azhar Azizan membenarkan tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) boleh hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Menurut beliau Ahli Parlimen berkenaan dibawa menaiki ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas.

Selepas mengundi, katanya Ahli Parlimen terlibat perlu meninggalkan Galeri Awam bagi mengehadkan pendedahan dengan semua orang di Parlimen.

Azhar berkata beliau tidak mengubah SOP tetapi pematuhan itu ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ekoran itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan Azhar Azizan Harun mengenai kehadiran tiga ahli parlimen memakai pakaian perlindungan diri (PPE).