Malaysia Dateline

Parlimen tidak bersidang semasa darurat, penderhakaan yang tidak disedari PN

Perikatan Nasional mungkin tidak menyedari, apabila Parlimen tidak bersidang dalam tempoh darurat, ia merupakan satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu setelah Baginda bertitah supaya Parlimen boleh bersidang semasa tempoh itu.

Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria yang dihubungi berkata, sebulan selepas Proklamasi Darurat diisytiharkan, Agong telah pun bertitah persidangan Parlimen boleh dilaksanakan, namun ianya tidak dipedulikan kerajaan PN.

“Tuanku bertitah demikian kerana ia termaktub dalam sub-perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Selepas enam bulan darurat dilaksanakan, jumlah kes positif Covid-19 dalam masa tempoh darurat empat kali ganda dari jumlah kes sepanjang tahun 2020.

“Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang pada Jun 2021 jelas menyatakan kebimbangan atas peningkatan luar biasa tersebut, seolah-olah darurat gagal melawan Covid-19 dengan berkesan dan ia mendorong Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu mahu perkara ini dibahaskan di Parlimen.

“Apabila Tuanku Agong bertitah Parlimen perlu segera bersidang, maka ia menjelaskan kebimbangan terhadap pandemik Covid-19 yang meragut 100 kematian sehari,” katanya.

Pada masa sama Zaidi berkata, kebanyakan rakyat semakin sukar meneruskan kehidupan dan perlu diambil kira apatah lagi apabila dua kali Tuanku bertitah agar Parlimen bersidang yang membawa erti Parlimen wajib dibuka dalam tempoh darurat iaitu sebelum 1 Ogos 2021.

Tambah Zaidi lagi, keputusan PM iaitu Parlimen boleh bersidang apabila jumlah kes sehari 2,000 atau ke bawah yang dijangka berjaya dicapai pada September 2021 iaitu tiga bulan dari titah Tuanku, maka ia membawa erti suatu penderhakaan terhadap titah tersebut.